Penceramah Dibebaskan Sehari Selepas Ditahan - JAINJ

31/05/2025 07:16 PM

JOHOR BAHRU, 31 Mei (Bernama) -- Seorang penceramah agama yang ditahan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) pada Rabu kerana dipercayai memberi ceramah tanpa tauliah di sebuah rumah di Pasir Gudang dibebaskan sehari selepas penahanannya.

Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) Nasri Md. Ali berkata penceramah berusia 50 tahun itu memberikan kerjasama baik sepanjang ditahan.

"Selepas ditahan pada 8.30 malam pada Rabu, dia dibebaskan keesokan hari, sebelum dipanggil semula semalam. Dia akan dipanggil semula sekali lagi pada 3 Julai bagi membantu siasatan dijalankan Bahagian Penguatkuasa JAINJ," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pada Khamis, Nasri mengesahkan pihaknya telah menahan penceramah agama itu dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam mengikut Seksyen 11 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997, iaitu mengajar agama tanpa tauliah.

Penceramah berkenaan pernah ditahan pada 2016 atas kesalahan sama.

"Pada 2020 ada serbuan dibuat, namun dia berjaya melepaskan diri. Ini kali ketiga tindakan diambil terhadap dirinya kerana tiada tauliah.

"Kita tidak halang orang beri ceramah, tetapi mestilah dapatkan tauliah daripada Majlis Agama Islam Negeri Johor. Tindakan ini sama sahaja seperti negeri lain yang mewajibkan penganjur atau pendakwah mendapatkan kebenaran terlebih dahulu," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan