Orang Ramai Dinasihat Lebih Berhati-hati Beli Pakej Haji, Arab Saudi Perketat Visa Mujamalah

30/05/2025 04:03 PM

KUALA LUMPUR, 30 Mei (Bernama) -- Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati ketika membeli pakej mengerjakan ibadah haji susulan langkah Arab Saudi mengetatkan pengeluaran visa Mujamalah kepada rakyat negara ini.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata berikutan langkah itu, pihaknya menjangkakan sindiket penipuan ibadah haji akan mempromosikan lebih banyak tawaran menarik palsu bagi menjerat mangsa.

Beliau berkata bagi mengelak daripada menjadi mangsa, orang ramai perlu memeriksa sama ada syarikat atau ejen yang membuat tawaran itu benar-benar berdaftar atau tidak dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tabung Haji (TH)

“Setakat ini polis menerima satu laporan berkaitan penipuan ini dengan jumlah kerugian bernilai RM71,000.

"Tahun ini, Arab Saudi sudah mengecilkan pengeluaran visa Mujamalah untuk rakyat Malaysia menunaikan haji, jadi pengeluaran permit tersebut menjadi amat ketat," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Muhammed Hasbullah berkata bermula musim haji tahun ini, Pasukan Petugas Khas Menangani Isu Jemaah Haji Terkandas ditubuhkan bagi menyelaras siasatan, mengurus dokumentasi, serta melaksanakan tangkapan ke atas individu atau pemilik syarikat yang disyaki terlibat dalam penawaran pakej haji palsu.

Beliau berkata penugasan pasukan itu diaktifkan pada tempoh tertentu setiap kali musim haji berlangsung dengan kerjasama strategik MOTAC dan TH.

"Pasukan ini akan beroperasi di Bilik Mesyuarat One Stop Center, Aras 2, Blok B Parking Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya.

Beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada inisiatif memperkasa sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat khususnya dalam menangani aduan serta isu berkaitan jemaah haji yang terkandas secara lebih terancang, efisien dan berlandaskan bidang kuasa setiap agensi yang terbabit.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan