PUTRAJAYA, 28 Mei (Bernama) -- Mahkamah Rayuan di sini hari ini mengekalkan hukuman penjara 30 tahun terhadap seorang bekas pekerja hotel yang didapati bersalah atas dua pertuduhan mengedar dan satu pertuduhan memiliki dadah.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali menolak rayuan Ilham Utama Sawai Suardi terhadap sabitan dan hukuman.
Bagaimanapun Che Mohd Ruzima yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Azizul Azmi Adnan dan Datuk Azmi Ariffin memerintahkan Ilham menjalani hukuman 12 sebatan bagi setiap pertuduhan mengedar dadah secara berturut-turut dan bukannya serentak, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.
Oleh itu, Ilham kini akan menjalani hukuman 24 sebatan.
Panel itu memutuskan isu dibangkitkan peguam Datuk Hanif Hasan tiada merit.
“Kami berpendapat Mahkamah Tinggi tidak melakukan sebarang kesilapan dalam memutuskan bahawa pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie,” katanya.
Ilham, 30, sebelum ini disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Tinggi Seremban pada Disember 2023 atas tiga pertuduhan mengedar dan memiliki kanabis.
Dia dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun kerana memiliki kanabis seberat 10.58 gram.
Ilham turut didapati bersalah mengedar 373.8 gram dan 560.34 gram kanabis, dan dijatuhi hukuman penjara 30 tahun serta 12 sebatan bagi setiap pertuduhan.
Kesalahan itu dilakukan di kawasan tempat letak kereta sebuah hotel di Seremban, Negeri Sembilan kira-kira 3.30 petang, 12 April 2020 dan di sebuah rumah di Taman Temiang Jaya, Seremban, kira-kira 4.15 petang, tarikh sama.
Mahkamah Tinggi telah memerintahkan hukuman penjara dan sebatan dijalankan serentak. Ilham masih mempunyai satu lagi peluang untuk mengemukakan rayuan iaitu ke Mahkamah Persekutuan.
Pada prosiding hari ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ng Siew Wee.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial