JOHOR BAHRU, 28 Mei (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan tujuh individu serta merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM1.23 juta dalam dua serbuan berasingan di Jalan Skudai Lama di sini pada 20 dan 21 Mei lepas.
Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata kesemua yang ditahan terdiri daripada lima lelaki tempatan dan dua wanita warga asing berusia antara 29 hingga 54 tahun.
Beliau berkata modus operandi sindiket yang dipercayai aktif sejak Januari tahun lepas itu adalah dengan menggunakan aplikasi WeChat untuk berurus niaga.
“Pelbagai jenis dadah dijumpai di dalam sebuah kereta dan sebuah rumah teres di sini, yang dijadikan sebagai tempat penyimpanan dadah.
“Secara keseluruhan dadah bernilai RM1.23 juta dirampas iaitu 7.08 kilogram (kg) serbuk ekstasi, 1.37kg heroin, 139.34 gram (g) ketamin, 123.10g syabu dan 127 pil eramin 5, kesemuanya hasil pemeriksaan di dalam rumah itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Kumar berkata pihaknya turut menyita tiga kereta, dua motosikal, wang tunai RM9,320 dan pelbagai barangan kemas bernilai RM32,453.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Dalam kes berlainan, Kumar berkata pihaknya turut menumpaskan satu lagi sindiket pengedaran dadah di Pontian pada 21 Mei lepas.
Beliau berkata seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun ditahan bersama pelbagai jenis dadah seberat 6.46 kilogram bernilai RM1.07 juta dalam serbuan di sebuah rumah teres yang dipercayai dijadikan tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan.
“Kita masih mencari ahli sindiket lain dalam kumpulan ini. Kita percaya ada lagi ahli yang terlibat dalam kumpulan ini aktif sejak Mac 2025,” katanya.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial