KLANG, 26 Mei (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menggagalkan cubaan menyeludup masuk 272.6 tan besi sekerap bernilai RM1.64 juta selepas menahan 14 kontena di Zon Bebas Pelabuhan Barat, baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Raizam Setapa @Mustapha berkata kesemua barangan itu dirampas menerusi beberapa siri pemeriksaan dijalankan pihaknya.
Beliau berkata siasatan awal mendapati logam itu diimport dari beberapa negara di benua Amerika, Eropah serta Asia dan dipercayai dibawa masuk untuk digunakan bagi proses kitar semula di negara ini.
"Pemeriksaan mendapati dagangan itu diikrarkan sebagai aloi tembaga, pengulang-alik dan komponen kenderaan terpakai termasuk serbuk aluminium di dalam Borang Kastam 1 bagi mengaburi pihak berkuasa.
"Kesemua barangan dagangan yang disahkan sebagai besi sekerap itu dirampas kerana tidak mempunyai Permit Import yang dikeluarkan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) sebagaimana telah digariskan di bawah Butiran 5, Bahagian 1, Jadual Keempat, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023," katanya pada sidang media di Wisma Kastam, Pulau Indah di sini hari ini.
Dalam kes lain, Raizam berkata JKDM Selangor turut merampas 26,238 liter minuman keras bernilai RM188,724 selepas menahan sebuah kontena bersaiz 40 kaki, 6 Mei lepas.
Beliau berkata kontena itu tiba di Pelabuhan Klang pada 22 April dengan barang dagangan diikrarkan sebagai barangan perabot kerusi.
Raizam berkata pihaknya juga berjaya mematahkan cubaan menyeludup lima barangan antaranya beras, tembakau, 21 mesin basuh dan pengering pakaian dengan nilai keseluruhan RM3.5 juta melalui rampasan di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Barat dan Utara sepanjang April dan bulan ini.
"Semua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barang larangan berlawanan dengan sesuatu larangan dan Seksyen 133(1)(a) akta sama kerana melakukan ikrar tidak benar," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial