KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Tiga wartawan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) antara 26 pengamal media diberikan penghargaan atas usaha dan sumbangan mereka dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Majlis Apresiasi Ketua Polis Negara (KPN) Bersama Media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menyampaikan surat penghargaan kepada Ketua Meja Jenayah dan Keselamatan Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad, Wartawan Meja Jenayah dan Keselamatan Noraizura Ahmad dan Wartawan Penyiaran Bernama TV Siti Zanariah Nor Zin.
Razarudin berkata penghargaan itu diberikan atas komitmen dan dedikasi pengamal media dalam menyampaikan maklumat yang tepat serta menyokong kerjasama antara pihak polis dan media dalam menangani isu keselamatan negara.
“Sebagai menghargai khidmat bakti yang telah disumbangkan, saya dengan bangganya menyampaikan surat penghargaan ini dengan harapan ia akan menjadi perangsang dan dorongan kepada media untuk terus memberikan perkhidmatan lebih cemerlang,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu.
Majlis yang berlangsung dalam suasana santai itu menjadi platform untuk mengeratkan hubungan antara polis dan media yang telah lama terjalin.
Sementara itu, Noraizura bersyukur atas penghargaan itu dan menyifatkan ia sebagai pengiktirafan sumbangan Bernama sekali gus menjadi pemangkin untuknya terus memberikan laporan adil dan tepat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial