KOTA BHARU, 22 Mei (Bernama) -- Polis menahan seorang wanita disyaki terlibat dalam kejadian menyimbah cecair dipercayai asid terhadap seorang pemilik spa di Beris Kubur Besar, Bachok, Sabtu lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata wanita berusia 38 tahun itu ditahan pada 4 petang semalam di hadapan sebuah kilang getah di Kuala Krai.
“Wanita itu yang bekerja di sebuah kilang getah didapati tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Polis merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi, telefon bimbit serta alat kawalan kenderaan daripadanya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan wanita itu dibawa ke Mahkamah Majistret Bachok, pagi ini untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut terhadapnya.
Mohd Yusoff berkata pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang mendatangkan kecederaan parah.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian dan menyalurkan maklumat kepada IPD Bachok atau mana-mana balai polis berhampiran.
Pada Sabtu lepas, seorang peniaga wanita disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali dalam kejadian berhampiran sebuah kedai serbaneka di Beris Kubur Besar, Tawang, Bachok.
Akibat serangan itu, mangsa melecur teruk pada bahu, belakang, lengan dan kaki, bagaimanapun dia kini dilaporkan stabil dirawat di Wad Unit Rawatan Kebakaran, Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial