Polis Sita 21 Motosikal Dalam Operasi Banteras Lumba Haram Di Labuan

13/05/2025 05:29 PM

LABUAN, 13 Mei (Bernama) -- Polis menyita 21 motosikal dalam operasi bersepadu membanteras lumba haram di Jalan Sungai Miri berhampiran Kampus Antarabangsa Universiti Malaysia Sabah Labuan (UMSKAL) di sini selama dua hari yang berakhir semalam.

Ketua Polis Daerah Labuan Supt Mohd Hamizi Halim berkata operasi berkenaan dijalankan susulan aduan orang awam mengenai kegiatan samseng jalanan yang menunggang secara berbahaya dan membuat bunyi bising dengan ekzos yang diubah suai.

"Operasi diketuai ASP Rechi Anak John Chuhing melibatkan 22 pegawai termasuk unit khas yang melakukan pemantauan sebelum dua sekatan jalan raya dilakukan secara serentak, satu di Jalan Sungai Pagar berhampiran Petronas Carigali dan satu lagi di hadapan Sekolah Menengah Sains Labuan," katanya kepada Bernama hari ini.

Mohd Hamizi berkata Unit Kereta Peronda (MPV) juga dikerahkan untuk menyuraikan orang ramai di lokasi berkenaan.

"Sebahagian penunggang motosikal ditahan di lokasi kejadian manakala yang lain melarikan diri ke arah pantai dan meninggalkan motosikal mereka.

"Pelbagai kesalahan dikesan seperti menunggang tanpa lesen yang sah, cukai jalan tamat tempoh, tidak memasang nombor plat serta melakukan pengubahsuaian haram," katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemeriksaan lanjut akan dilakukan bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mengesan kesalahan lain, termasuk bunyi bising.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan