KOTA BHARU, 13 Mei (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM10,000 masing-masing terhadap dua lelaki selepas mengaku bersalah menyeludup minyak diesel tanpa lesen sah pada dua tahun lepas.
Mohamad Aiman Mohd Din, 31, dan Mohd Amiruddin Ramly, 34, membuat pengakuan itu secara berasingan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Zulkifli Abllah.
Mengikut pertuduhan, Mohamad Aiman yang bekerja sebagai pemandu lori didapati memiliki 832.525 liter diesel di hadapan Pejabat Cawangan Pembangunan Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian, pada 12.45 tengah hari, 6 Sept 2023.
Bagi pertuduhan terhadap Mohd Amiruddin, dia didapati memiliki 780.535 liter minyak diesel di tepi jalan Kampung Dalam Rhu, Semerak, Pasir Puteh, pada 2.55 petang, 26 Julai 2023.
Kedua-dua kesalahan dilakukan tanpa lesen sah yang melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.
Pihak pendakwaan diwakili Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan Muhammadi Iman Masjuri manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian menetapkan denda RM10,000 setiap seorang dan turut memerintahkan semua barang kawalan serta kenderaan digunakan dilucut hak milik kepada pihak berkuasa.
Sementara itu, di mahkamah sama di hadapan Hakim Zulkifli, seorang pemilik restoran didenda RM20,000 selepas mengaku bersalah mempamerkan logo halal tanpa perakuan atau kebenaran yang sah.
Mengikut pertuduhan, Lim Beng Kee, 48, melakukan kesalahan memerihalkan makanan sebagai halal tanpa memiliki apa-apa kebenaran atau perakuan yang sah daripada pihak berkuasa di premis perniagaannya di Jalan Temenggong di sini pada 12.46 tengah hari, 18 Nov 2024.
Dia didakwa melanggar kesalahan di bawah Perintah 4(1)(a) dan (b) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 yang merupakan suatu kesalahan di bawah Perintah 8 (b) Perintah sama, yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Muhammadi Iman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial