GEORGE TOWN, 11 Mei (Bernama) -- Polis berjaya menumpaskan satu sindiket pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long selepas menahan empat lelaki dalam serbuan berasingan di sekitar Pulau Pinang semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata tangkapan itu dibuat sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang melancarkan operasi khas.
Beliau berkata kesemua suspek berusia 34 hingga 42 tahun itu dipercayai aktif menjalankan kegiatan pinjaman wang tanpa lesen termasuk secara dalam talian, selain turut disyaki terlibat dengan perbuatan menyimbah cat di premis perumahan sekitar negeri berkenaan.
“Selain tangkapan, serbuan turut merampas pelbagai barangan antaranya sebuah kereta Toyota Vios, lima telefon bimbit, topeng muka, cat merah serta dokumen dan pelbagai peralatan berkaitan kegiatan jenayah terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamzah berkata hasil soal siasat mendapati suspek mengaku terlibat dengan 33 kes simbah cat yang berlaku di tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Perak dan Kedah.
Beliau berkata pemeriksaan ke atas telefon bimbit yang dirampas menemukan 33 alamat sasaran lokasi kejadian simbah cat yang dipercayai dilakukan oleh suspek di lokasi berasingan.
“Kesemua suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial