KOTA BHARU, 5 Mei (Bernama) -- Cubaan menyeludup 400 liter minyak petrol ke negara jiran berjaya digagalkan dalam satu operasi bersepadu yang dijalankan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga bersama beberapa agensi penguatkuasaan di Kampung Pauh Ganja di sini, baru-baru ini.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Tiga ACP Zulafendy Hassan dalam kenyataan hari ini berkata operasi bersepadu itu turut melibatkan Bahagian E5 Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan dan Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan.
“Bertindak atas maklumat awam, pasukan operasi telah menahan seorang lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyelewengan dan penyeludupan barang kawalan menggunakan kenderaan yang diubah suai dengan tangki minyak tambahan serta pengisian petrol dalam tong jerikin.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek gagal mengemukakan sebarang permit kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk memiliki atau mengangkut bahan kawalan itu,” katanya.
Beliau berkata rampasan melibatkan sejumlah tong jerikin dan sebuah kenderaan berdaftar di Malaysia, dengan nilai keseluruhan dianggarkan sebanyak RM8,940.
“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut dan kes dirujuk kepada KPDN Kelantan untuk tindakan susulan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial