Lelaki Didakwa Tendang, Pukul Isteri Guna Getah Paip

05/05/2025 04:26 PM

KUALA LUMPUR, 5 Mei (Bernama) -- Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya dengan menendang dan memukul wanita itu menggunakan getah paip, bulan lepas.

Daniel Kenneth Abdullah, 35, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isterinya berumur 24 tahun dengan menendang kaki kiri serta memukul menggunakan getah paip pada bahagian badan mangsa.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kediamannya di sebuah pangsapuri di Bandar Sri Permaisuri di sini pada 9 malam, 30 April lepas, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Seksyen 324 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu manakala Seksyen 326A pula berdepan dengan hukuman penjara selama tempoh dua kali ganda tempoh maksimum atau dengan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin dan mangsa dikhuatiri berada dalam ketakutan kerana masih tinggal serumah dengan tertuduh.

Daniel yang tidak diwakili peguam merayu jaminan diberikan kerana dia menyesal atas perbuatannya itu dan berjanji akan menjaga dua anaknya, masing-masing berumur empat bulan dan setahun serta isterinya yang kini sedang hamil.

Hakim Zulqarnain Hassan tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan sebutan kes pada 9 Jun untuk serahan dokumen.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan