NRES Buka 10 Kertas Siasatan Aktiviti Seludup Hidupan Liar Di KLIA

30/04/2025 05:06 PM

PUTRAJAYA, 30 April (Bernama) -- Sepuluh kertas siasatan berkaitan aktiviti penyeludupan hidupan liar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dibuka bagi tempoh 2023 hingga April 2025.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) memaklumkan ia melibatkan aktiviti penyeludupan spesies eksotik atau tempatan seperti kura-kura, ular, burung dan primat.

“NRES memandang serius isu ini yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini. Jenayah penyeludupan hidupan liar bukan sahaja menjejaskan populasi spesies terancam malah menimbulkan risiko keselamatan dan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Dalam hal ini, NRES melalui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan) komited memperkasakan tindakan penguatkuasaan di seluruh negara,” menurut kenyataan itu.

Mana-mana individu atau sindiket yang didapati terlibat dalam penyeludupan hidupan liar akan berdepan tindakan tegas di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716), termasuk denda hingga RM1 juta atau hukuman penjara maksimum 15 tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi memperkukuhkan usaha membanteras aktiviti itu, NRES mempergiatkan kerjasama strategik di bawah Rangkaian Penguatkuasaan Hidupan Liar Malaysia dan Operasi Bersepadu Khazanah dengan pelbagai agensi penguatkuasaan antaranya Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Agensi Kawalan Perlindungan Sempadan.

“Pendekatan bersepadu ini membolehkan operasi pencegahan, siasatan dan pendakwaan dijalankan dengan lebih berkesan,” menurut NRES.

Sebagai sebuah negara mega biodiversiti, NRES memaklumkan Malaysia kekal komited melindungi khazanah alam semula jadi demi keseimbangan ekosistem dan kesejahteraan generasi masa depan. 

Justeru, NRES menyeru masyarakat untuk bertindak sebagai mata dan telinga kepada pihak berkuasa dengan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan hidupan liar melalui hotline Perhilitan di talian 1-800-88-5151 atau e-aduan di laman sesawang www.wildlife.gov.my.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan