KUANTAN, 29 April (Bernama) -- Seorang suri rumah kerugian RM150,190 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham tidak wujud menerusi skim yang diiklankan di Facebook.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 58 tahun telah berurusan dengan tiga individu melalui WhatsApp selepas melihat iklan itu pada 21 Jan dan diarahkan memuat turun aplikasi ‘Tung Shing’ serta menyertai kumpulan WhatsApp “D2 Stock Market” dan “D02 AID VIP Group”.
“Dalam tempoh 23 Feb hingga 18 April, mangsa telah membuat 13 transaksi pembayaran ke dua akaun berbeza dengan menggunakan wang simpanan peribadinya. Pada pertengahan April, mangsa telah menerima keuntungan RM11,600,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata wanita itu mula menyedari ditipu selepas gagal mengeluarkan baki pelaburan seperti dijanjikan malah mangsa diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan hasil pelaburan.
Susulan itu, Yahaya menasihatkan orang ramai agar membuat semakan dan pengesahan menyeluruh terhadap platform, syarikat serta individu yang menawarkan pelaburan sebelum melakukan sebarang transaksi kewangan.
“Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial