SHAH ALAM, 27 April (Bernama) -- Seorang lelaki tempatan ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes sengaja melanggar seorang penunggang motosikal di Jalan Dato Yusof Shahbudin 28, Bandar Sentosa di Klang malam tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan ACP Ramli Kasa berkata hasil siasatan mendapati suspek berusia 37 tahun yang ditahan pada 1.15 awal pagi tadi sekitar daerah Klang, mempunyai empat rekod jenayah lampau.
“Suspek direman selama empat hari sehingga 30 April depan. Satu kertas siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan cubaan bunuh telah dibuka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Ramli berkata pihak polis menerima panggilan daripada orang awam pada 10.20 malam tadi yang memaklumkan tentang pergaduhan antara seorang pemandu kereta dan penunggang motosikal, sebelum seorang daripada mereka dilanggar dan cedera.
Katanya, ketika kejadian, mangsa berusia 50 tahun itu sedang menunggang motosikalnya dan mengelak daripada permukaan jalan yang tidak rata. Perbuatan itu menyebabkan suspek yang juga pemandu kereta menganggap mangsa menunggang secara tidak berhemah.
“Suspek kemudian membunyikan hon untuk menegur tindakan mangsa. Mangsa yang tidak berpuas hati telah mengejar suspek, menyebabkan pertengkaran antara mereka.
“Semasa pertengkaran berlaku, mangsa telah menghentak cermin hadapan kereta suspek menggunakan topi keledar, dan suspek bertindak melanggar mangsa sehingga motosikalnya terheret di bawah kereta,” katanya.
Ramli berkata suspek kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian, manakala mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk pemeriksaan dan rawatan.
“Mangsa mengalami luka di kedua-dua kaki, bahu, serta sendi bahu kiri yang terkehel. Pada masa ini, beliau berada dalam keadaan stabil dan masih menerima rawatan,” katanya.
Ramli turut menasihatkan orang awam supaya tidak menularkan video kejadian berkenaan agar ia tidak menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.
Sebelum ini, beberapa rakaman video orang awam tular di media sosial hari ini, memaparkan seorang lelaki dilanggar sebuah kereta Bezza berwarna merah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial