Persidangan Badan Anti-Rasuah ASEAN: Penilaian Pelaksanaan Penyata Jakarta

24/04/2025 04:03 PM

Oleh Mohd Adli Shahar

KUALA LUMPUR, 24 April (Bernama) --  Putrajaya bakal menjadi medan penting kepada usaha serantau memerangi rasuah apabila wakil-wakil agensi pencegahan rasuah dari seluruh ASEAN berhimpun dalam Persidangan Badan Anti Rasuah ASEAN di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC), Selasa ini.

Persidangan sehari itu akan mengangkat tema ‘Mengimbas Kembali Penyata Jakarta’, yang merujuk kepada dokumen penting yang telah dilancarkan 13 tahun lepas, untuk memperkukuhkan prinsip dan kebebasan agensi pencegahan rasuah di rantau ini.

Pengerusi penganjuran persidangan berkenaan Datuk Seri Mustafar Ali berkata persidangan ini adalah peluang bagi peserta untuk menilai pelaksanaan 16  Pernyataan Jakarta Mengenai Prinsip-Prinsip bagi Agensi Anti-Rasuah (Penyata Jakarta), selain memperkasa kerjasama dan perkongsian ilmu antara negara ASEAN.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata perkongsian pengalaman mengenai pelaksanaan Penyata Jakarta adalah penting kerana ia akan membolehkan negara ASEAN mempelajari antara satu sama lain mengenai amalan terbaik menangani jenayah itu di negara masing-masing.

“Malaysia melalui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melaksanakan pelbagai inisiatif yang boleh menjadi penanda aras. Pada masa sama, kita juga boleh menimba pengalaman daripada agensi seperti Corrupt Practices Investigation Bureau (CPIB) dari Singapura atau National Anti-Corruption Commission (NACC) dari Thailand.

“Jika didapati terdapat kelemahan dalam pelaksanaan Penyata Jakarta 2012, kita akan berbincang bersama bagi memastikan kelemahan itu dapat diselesaikan atau diperkemaskan, diperkukuhkan,” katanya.

Mustafar yang juga Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia (IIM) berkata ketika ini semua negara ASEAN termasuk Timor Leste telah mengesahkan penyertaan mereka.

Selain wakil agensi pencegahan rasuah, persidangan itu turut akan disertai wakil badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan pencegahan rasuah dan pengamal media dari semua negara peserta.

Beliau berkata antara yang akan membuat pembentangan dalam persidangan itu ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dan Pengerusi Komisi Pemberantasan Korupsi (KPK) Setyo Budiyanto dari Indonesia.

“Turut akan membuat pembentangan ialah wakil daripada United Nation Development Program (UNDP) dan Independent Commission Against Corruption (ICAC) dari Hong Kong selain pengamal anti rasuah yang pernah bertugas di  International Anti-Corruption Academy di Austria,” katanya.

Mustafar berkata SPRM bertindak sebagai penganjur utama persidangan itu, dan ia turut mendapat kerjasama antaranya daripada Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC), Kesatuan Anti Rasuah Asia Tenggara (Sea Actions), IIM dan Rasuah Buster.

Beliau berkata pada akhir persidangan itu nanti, satu deklarasi dijangka diumumkan sebagai tanda ikrar bersama dan komitmen baharu dalam memperkukuh tindakan anti-rasuah di rantau ini

Mengenai Penyata Jakarta, beliau berkata deklarasinya telah diadakan di Jakarta, Indonesia selepas berakhir satu persidangan pada 26 hingga 27 November 2012 yang dianjurkan oleh KPK dan UNDP dengan dihadiri lebih 30 negara di seluruh dunia.

Mustafar berkata hasil persidangan itu, 16 prinsip telah ditetapkan bagi memperkukuhkan kebebasan dan keberkesanan agensi pencegahan rasuah di negara-negara yang menyertai persidangan itu.

Antara prinsip yang ditetapkan ialah berkaitan mandat agensi pencegahan rasuah bagi menangani rasuah, kerjasama agensi itu dengan pihak lain dalam menjalankan tugas, kekekalan penubuhan agensi itu selaras dengan undang-undang negara masing-masing.

Penyata Jakarta turut menggariskan perkara berhubung pelantikan ketua agensi pencegahan rasuah, sumber mencukupi terhadap agensi berkenaan dan pelaporan awam terhadap aktiviti agensi itu.  

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan