KUALA LUMPUR, 23 April (Bernama) -- Seorang lelaki putus lima jari tangan kirinya selepas diserang lima lelaki bersenjatakan parang dan pedang dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan PJS 1½, Bandar Sunway, Subang Jaya, Selangor awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.54 pagi, sebelum Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya mengarahkan anggota peronda ke lokasi kejadian.
“Siasatan mendapati, semasa kejadian mangsa dan beberapa rakan mahu bergerak pulang ke rumah selepas selesai makan di restoran berkenaan sebelum kereta Toyota Vios berwarna putih dinaiki lima penyerang berkenaan tiba di lokasi itu.
“Kesemua suspek dipercayai warga tempatan kemudian turun dari kereta dan menetak mangsa menggunakan parang dan pedang sebelum melarikan diri dengan kereta yang sama,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Wan Azlan berkata mangsa yang berusia 30 tahun itu turut mengalami kecederaan pada bahagian tangan, kaki serta badan, dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, kerana dengan sengaja menyebabkan cedera parah dengan menggunakan senjata tajam dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat.
Pada masa sama, beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian berkenaan supaya menghubungi Pusat Kawalan Daerah Subang Jaya di talian 03-7862 7222 atau Insp Fadizah Ajamain di talian 019-858 2166.
– BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial