Polis Tahan Lapan Individu Kes Pukul Di Seri Alam

22/04/2025 04:35 PM

JOHOR BAHRU, 22 April (Bernama) -- Polis menahan lapan individu termasuk seorang wanita berusia antara 19 hingga 26 tahun di sebuah rumah di Plentong Baru dekat sini, kira-kira 2.30 pagi semalam, susulan video tular memaparkan seorang lelaki dipukul.

Ketua Polis Daerah Seri Alam ACP Mohd Sohaimi Ishak dalam kenyataan berkata pihaknya turut mengesahkan telah menerima laporan daripada mangsa pada Ahad (20 April) yang menyatakan kejadian berlaku pada 18 April kira-kira 9.30 malam di kawasan Perumahan Pangsapuri Plentong Baru, Masai.

Terdahulu, video kejadian memukul lelaki berusia 21 tahun itu, berdurasi 2 minit dan 7 saat, tular melalui akaun Facebook Komuniti Bandar Seri Alam.

“Hasil siasatan mendapati mangsa telah pergi ke pangsapuri terbabit atas jemputan kenalan (perempuan) di media sosial namun sebaik sahaja sampai di rumah itu dia telah dikurung, dipukul dan dicederakan oleh lapan suspek.

“Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan luka di bahagian bibir dan telinga kiri serta sakit selain terdapat bengkak di bahagian badan,” katanya. 

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati lima daripada suspek mempunyai pelbagai kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah selain empat daripadanya positif dadah jenis metamfetamina. 

“Kesemua tangkapan ditahan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) sehingga Sabtu depan (26 April) dan kes disiasat mengikut Seksyen 324, 342 dan 385 Kanun Keseksaan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan