ALOR SETAR, 22 April (Bernama) -- Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah RM500 tahun lepas.
E. Rajgunan, 33, didakwa memperoleh wang suapan itu daripada seorang lelaki berusia 52 tahun sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap individu itu yang melanggar syarat pengawasan di bawah Seksyen 6(3), Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Dia yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dituduh melakukan kesalahan itu di Jalan Lunas-Kulim, Kulim pada 2 petang 24 Ogos 2024.
Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Zulfadli Azharudin menawarkan jaminan RM10,000, namun lelaki itu yang tidak diwakili peguam merayu jumlah itu dikurangkan kerana berpendapatan rendah serta menanggung isteri serta ibunya yang menghidap penyakit jantung, selain seorang adiknya baru sahaja terlibat kemalangan.
Hakim N. Priscilla Hemamalini membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 Mei untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial