KUALA LUMPUR, 18 April (Bernama) -- Dua warga asing sanggup mengambil risiko bersembunyi atas siling sebuah rumah kedai bagi meloloskan diri daripada ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam serbuan di kawasan premis perniagaan di Medan Imbi di sini malam tadi.
Anggota penguat kuasa JIM terpaksa mengambil masa beberapa minit untuk menahan dua lelaki itu setelah mereka beberapa kali berdegil dan enggan mematuhi arahan.
Kedua-dua mereka antara 895 warga asing yang diperiksa, termasuk 146 warga tempatan dalam operasi penguatkuasaan bersepadu dilaksanakan oleh JIM Putrajaya dan dibantu JIM Negeri Sembilan serta agensi lain seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata daripada jumlah itu, seramai 506 warga asing ditahan disyaki melakukan pelbagai pelanggaran undang-undang imigresen seperti tiada dokumen pengenalan, melanggar syarat-syarat pas dan tinggal lebih masa.
“Kawasan di Medan Imbi ini satu daripada hotspot yang kita sentiasa pantau secara berterusan dan ini bukan kali pertama kita jalankan operasi penguatkuasaan di sini.
“Kita sentiasa membuat pemeriksaan mengejut dan setiap kali ada pemeriksaan begini, kita memang akan dapat mengenal pasti mereka yang melanggar peraturan dan akta imigresen,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan.
Zakaria berkata lokasi serbuan ialah kawasan tumpuan ramai warga asing untuk menyewa penginapan, dan difahamkan sebuah bilik kecil di rumah kedai di situ disewa pada harga kira-kira RM600 bagi memuatkan empat ke lima orang dan diubah suai menjadi rumah sewa yang sempit untuk dikongsi penyewa mencecah 30 orang.
Beliau berkata kesemua yang ditahan berumur antara 25 hingga 65 tahun dan kebanyakan terdiri warga Bangladesh, Nepal dan Indonesia itu akan dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Zakaria berkata dari Januari hingga 16 April tahun ini, seramai 52,318 orang telah diperiksa, dengan tangkapan ke atas pendatang tanpa izin mencecah 22,486 orang dan 491 majikan manakala selebihnya tangkapan oleh agensi-agensi penguatkuasaan lain yang diserahkan kepada pihaknya.
“Dari segi pemantauan, kita akan buat secara berterusan dan terus melaksanakan operasi bersepadu seperti ini dengan agensi penguatkuasaan lain.
“Kita tidak akan berhenti di sini dan kita akan pastikan semua yang berada di mana-mana hotspot yang jadi tumpuan warga asing sentiasa dipantau. Itu komitmen yang kita berikan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial