KUANTAN, 17 April (Bernama) -- Polis menemukan dadah seberat 468.3 kilogram (kg) dianggar bernilai RM15 juta dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda di KM211 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1, arah Kuantan Selasa lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kenderaan itu telah dijumpai pasukan peronda lebuh raya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman semasa melaksanakan Op Utama Zon Timur antara 10 pagi hingga 1 tengah hari.
Beliau berkata ketika menjalankan operasi berkenaan, pasukan peronda telah menerima maklumat mengatakan sebuah kereta jenis Mitsubishi Triton telah dipandu secara melawan arus.
“Bertindak atas maklumat, pasukan peronda telah membuat pemantauan di LPT dan menemukan kenderaan terbabit di bahu jalan dalam keadaan pintu berkunci tanpa pemandu dan penumpang,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Yahaya berkata pemeriksaan lanjut di bahagian belakang dan dalam kenderaan itu menemukan 22 plastik berwarna hitam mengandungi 440 bungkusan bertulisan ‘chinese pin wei’ berisi ketulan kristal jernih dipercayai dadah jenis syabu.
"Usaha mengesan pemilik kenderaan masih dijalankan dan mana-mana pemandu yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka ketika kejadian diminta tampil membantu siasatan," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial