KUALA LUMPUR, 17 April (Benama) -- Sebanyak 15 warga asing dan dua warga tempatan ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur dalam serbuan ke atas premis sektor runcit dan restoran disyaki menggaji warga asing tanpa dokumen sah di Brickfields, malam tadi.
Pengarahnya Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata dalam operasi bermula 9 malam itu, sebanyak 47 individu diperiksa dan 15 daripadanya ditahan terdiri daripada 13 lelaki warga Bangladesh dan dua lelaki warga Pakistan berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun.
“Seorang daripada warga Bangladesh yang ditahan dipercayai majikan kepada pekerja asing terbabit turut disiasat bersama suami isteri warga tempatan kerana dipercayai melindungi pekerja asing.
“Siasatan lanjut mendapati pekerja asing terbabit melakukan kesalahan menggunakan pas lawatan kerja sementara dan berada di premis terbabit tanpa dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya kepada pemberita selepas tamat operasi tengah malam tadi.
Beliau berkata ketika serbuan, warga asing terbabit cuba menyamar sebagai pelanggan di premis berkenaan bagi mengaburi pihak berkuasa namun tindakan itu berjaya dikesan pihak JIM.
Wan Mohammed Saupee berkata satu daripada premis yang diserbu itu mempunyai kemudahan seperti asrama di bahagian belakang premis dipercayai digunakan untuk menempatkan pekerja asing.
“Permit pekerja asing yang ditahan kebanyakannya untuk bekerja dalam sektor pembangunan, namun majikan telah menggajikan mereka antara RM50 hingga RM100 sehari untuk bekerja sebagai juruwang, tukang sembelih, tukang masak dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata semua majikan disiasat kerana melindungi pekerja asing tanpa kebenaran yang sah mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 manakala warga asing yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) akta sama serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial