SYED SADDIQ MOHON PELEPASAN SEMENTARA PASPORT UNTUK KE SINGAPURA DAN TAIWAN

10/05/2024 08:52 PM

PUTRAJAYA, 10 Mei (Bernama) -- Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah memfailkan permohonan bagi pelepasan sementara pasportnya untuk membolehkan beliau ke Singapura dan Taiwan.

Menerusi afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul pada 8 Mei lepas, Syed Saddiq berkata beliau ke Singapura untuk menghadiri majlis perkahwinan anak perempuan seorang rakan karibnya pada 18 Mei ini.

Selain itu, Syed Saddiq berkata beliau telah dijemput sebagai antara wakil negara ini oleh Pejabat Ekonomi dan Kebudayaan Taipei di Malaysia untuk melawat Taiwan dari 10 hingga 15 Jun tahun ini.

Menurut afidavit itu, Syed Saddiq berhasrat menerima jemputan George Yeo Yong-Boon, yang juga bekas Menteri Hal Ehwal Luar Singapura, kerana rakan karibnya itu sering memberi nasihat dan panduan kepada beliau bagaimana menjadi ahli politik yang berintegriti.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Muhammad Noor Firdaus Rosli menetapkan 15 Mei ini sebagai tarikh pendengaran bagi permohonan itu.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, ketika dihubungi Bernama, mengesahkan perkara itu.

Pada 9 Nov tahun lepas, Syed Saddiq dihukum penjara tujuh tahun dan denda RM10 juta serta dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan pecah amanah, menyeleweng dana dan pengubahan wang haram.

Beliau telah memfailkan rayuan pada hari yang sama.

Syed Saddiq, 31, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bekas Menteri Belia dan Sukan itu juga didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang tersebut di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Dia juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018.

Mahkamah Tinggi bagaimanapun membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadapnya sementara menunggu rayuan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan