PELAJAR TINGKATAN DUA TUNGGANG MOTOSIKAL MAUT, RAKAN CEDERA

10/05/2024 02:34 PM

KOTA TINGGI, 10 Mei (Bernama) -- Seorang pelajar Tingkatan Dua maut manakala rakannya cedera apabila motosikal yang ditunggang mereka dilanggar sebuah kereta ketika memasuki simpang di Kilometer 1.0 Jalan Bandar Penawar-Punggai, di sini, semalam. 

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Hussin Zamora dalam kenyataan berkata remaja lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Solariz itu meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berhubung insiden itu pada kira-kira 6.50 petang.

Menurutnya motosikal mangsa yang dipercayai dari arah Desaru menuju ke Taman Desaru Utama dirempuh kereta jenis Kia Rio dipandu seorang wanita yang berada di laluan lurus.  

“Penunggang motosikal itu dipercayai tidak memakai topi keledar, manakala pembonceng memakainya. 

“Jenazah mangsa telah dirujuk ke Unit Forensik Hospital Kota Tinggi bagi tujuan prosedur siasatan, manakala rakannya yang mengalami kecederaan patah tangan kiri masih mendapat rawatan di hospital sama,” katanya.

Hussin berkata pemandu wanita berusia 22 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan