BOMBA KELANTAN GUNA ANJING PENGESAN CARI DUA LELAKI DIKHUATIRI LEMAS

09/05/2024 02:57 PM

KOTA BHARU, 9 Mei (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan hari ini menggunakan khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua lelaki yang dikhuatiri lemas di Jambatan Sultan Yahya Petra di sini dan di Kampung Kutan Sungai, Tumpat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Zainal Madasin berkata dua ekor anjing yang dikenali 'Pop' dan 'Frankie' dari baka English Springer Spaniel digunakan bagi mengenal pasti kedudukan tepat mangsa-mangsa terbabit dipercayai terjatuh dan lemas.

"Setakat ini, Pop ada bau sensitif pada tiang kelima di Jambatan Sultan Yahya Petra dan kita telah arahkan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) untuk membuat selaman di kawasan berkenaan.

"Radius pencarian kedua-dua mangsa yang masih hilang diperluaskan sehingga tiga kilometer dari jambatan ini hingga ke Kampung Kutan Sungai, Wakaf Bharu dengan kekuatan lebih 50 petugas pelbagai agensi penyelamat," katanya kepada pemberita di lokasi pencarian dekat Jambatan Sultan Yahya Petra, di sini hari ini.

Dalam kejadian semalam, dua lelaki dikhuatiri lemas dengan kes pertama melibatkan seorang lelaki, 28, dipercayai terjatuh dari jambatan pada 9.46 pagi, manakala kes kedua melibatkan seorang lelaki, 51, hilang selepas sebuah bot terbalik di kampung terbabit pada 10.17 pagi.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan