SAIFUDDIN NAFI PENGURUSAN TERTINGGI FAM BAKAL JADI SASARAN SELEPAS INI

08/05/2024 04:50 PM

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menafikan dakwaan bahawa pengurusan tertinggi Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bakal menjadi sasaran seterusnya selepas insiden tonggak Harimau Malaya Faisal Halim cedera disimbah asid Ahad lalu.

"Tidak (sasaran seterusnya terhadap pengurusan tertinggi FAM). Saya cuma nak jumpa Faisal," katanya ringkas ketika ditemui media selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka MADANI Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Saifuddin Nasution, bagaimanapun tidak memberitahu secara terperinci bila pertemuan dengan pemain Selangor FC itu akan diadakan.

Sebelum ini, seorang individu menerusi akaun Instagramnya mendakwa selain pemain bola sepak kebangsaan, beberapa orang berjawatan dalam FAM bakal menerima nasib yang sama.

Individu terbabit bagaimanapun tidak memberitahu motif serangan terhadap pemain bola sepak kebangsaan dan pengurusan FAM.

Terdahulu, media melaporkan polis sedang mengenal pasti pemilik akaun media sosial menggunakan nama 'Muhammad Imran Suresh' yang mendakwa memiliki maklumat berhubung kes Faisal Halim yang disimbah asid sehingga mengalami kecederaan lecur tahap empat.

Sementara itu, Saifuddin Nasution dalam laman Facebooknya berkata beliau bersimpati atas kejadian yang menimpa Faisal Halim dan memohon orang ramai bersama-sama mendoakan pemain sensasi pasukan kebangsaan itu sembuh dan kembali semula menyarung jersi Harimau Malaya.

“Buat keluarga Faisal Halim, semoga kuat dan tabah dalam menghadapi ujian ini. Saya yakin polis sudah menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden ini. Sama-sama kita berikan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak PDRM,” katanya.

Ahad lepas, arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden Faisal Halim cedera disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya.

Insiden itu merupakan kejadian malang kedua menimpa pemain negara selepas pemain pinjaman Terengganu FC, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, cedera pada kepala dan kaki selepas diserang dan disamun dua individu di kawasan kediamannya di Kuala Terengganu, Khamis lepas.

Serangan terhadap pemain bola sepak negara memasuki episod baharu apabila cermin kereta pemain kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Safiq Rahim dipecahkan oleh dua lelaki menaiki motosikal dengan menggunakan tukul besi di Johor Bahru, semalam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan