KPDN RAMPAS COKLAT 'TIADA MINYAK SAWIT' DI LABUAN

08/05/2024 04:10 PM

LABUAN, 8 Mei (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Labuan merampas sejumlah coklat bernilai RM23,704.90 kerana disyaki berlabel 'No Palm Oil ’atau ‘Tiada Minyak Sawit’ pada pembungkusannya, Isnin lepas.

Pengarahnya Junaidah Arbain berkata rampasan dilakukan selepas pihaknya menyerbu sebuah kedai serbaneka dan sebuah kedai bebas cukai di pusat bandar Labuan.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022.

Peraturan berkenaan menetapkan bahawa sebarang pelabelan yang mendiskriminasi produk minyak sawit adalah dilarang.

Jika sabit kesalahan, pihak yang terlibat boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun.

“Rampasan ini menunjukkan komitmen kerajaan dalam menegakkan peraturan yang bermatlamat menggalakkan amalan perdagangan adil dan melindungi kepentingan industri minyak sawit,” katanya kepada Bernama hari ini.

Junaidah sehubungan itu menggesa orang ramai supaya melaporkan sebarang kejadian berkaitan pelabelan bersifat diskriminasi pada produk makanan kepada pejabat KPDN berhampiran.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan