KPN TIDAK CADANG WUJUD TALIAN 24 JAM BAHARU TANGANI ISU HINA AGAMA SELAIN ISLAM

08/05/2024 03:35 PM

PUTRAJAYA, 8 Mei (Bernama) -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) tidak bercadang untuk mewujudkan satu talian 24 jam baharu mengendalikan aduan berkaitan penghinaan terhadap mana-mana agama selain agama Islam, kata Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang.

Beliau dalam kenyataan hari ini berkata hal ini berikutan mekanisme pengurusan isu perpaduan sedia ada dilaksanakan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN).

Menurut Aaron walaupun kementeriannya tidak mempunyai kuasa atau peruntukan khas seperti akta untuk mengambil tindakan-tindakan dari segi perundangan, kementerian berkenaan melalui JPNIN berperanan penting dalam membantu mengurus isu perpaduan.

“Antara mekanisme pengurusan isu perpaduan yang telah disediakan dan dilaksanakan oleh JPNIN ialah pengesanan dan pemantauan isu perpaduan di peringkat akar umbi melalui sistem e-Sepakat, Dashboard Analitik Perpaduan dan Mediator Komuniti sebagai pendamai masyarakat,” katanya. 

Aaron berkata KPN mengambil maklum cadangan Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau yang menggesa pengwujudan dua talian 24 jam tambahan di Malaysia untuk mengendalikan aduan berkaitan penghinaan terhadap mana-mana agama selain agama Islam, kumpulan etnik, bahasa, budaya, gaya hidup atau identiti dan serta talian untuk orang ramai melaporkan hasutan dan keganasan.

Beliau berkata sistem e-Sepakat bertindak sebagai mekanisme pengesanan, pemantauan dan pelaporan isu perpaduan secara digital selain merupakan pusat pengumpulan data raya bagi pengurusan isu perpaduan di bawah KPN.

Sistem itu, katanya mempunyai tiga komponen utama yang merekodkan maklumat isu perpaduan iaitu I-kes bagi merekodkan isu-isu perpaduan yang telah berlaku, I-ramal bagi merekodkan isu atau berita yang dijangka akan berlaku dan I-Mediator iaitu pangkalan data maklumat Mediator Komuniti termasuk urusan pelantikan dan pelaporan kes mediasi.

Aaron berkata Dashboard Analitik Perpaduan pula menyokong kepada sistem e-Sepakat dalam meningkatkan lagi kecekapan gerak kerja pengurusan isu keharmonian masyarakat melalui pemetaan kawasan-kawasan yang berisiko tinggi dan ‘panas’ yang mampu mengganggu gugat keharmonian antara kaum dan agama.

Beliau berkata Mediator Komuniti pula terdiri daripada pemimpin Rukun Tetangga (RT), pegawai perpaduan dan badan bukan kerajaan (NGO) agama untuk menjadi pendamai masyarakat dalam membendung dan mengurus isu-isu perpaduan atau konflik sosial di peringkat komuniti.

“KPN mempunyai 562 Mediator Komuniti bertauliah dan terlatih yang bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada masyarakat secara percuma.

“Perkhidmatan mediasi menjadi pilihan kepada pihak-pihak yang bertelagah kerana pertikaian dapat diselesaikan tanpa melibatkan perundangan mahkamah atau peguam, lebih mudah, cepat, jimat dan dilaksanakan dalam suasana yang lebih harmoni,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan