PENOLONG PEGAWAI VETERINAR BERDEPAN EMPAT PERTUDUHAN TERIMA RASUAH

08/05/2024 02:17 PM

KUALA TERENGGANU, 8 Mei (Bernama) -- Seorang Penolong Pegawai Veterinar Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan menyalahgunakan jawatan bagi mendapatkan suapan melalui perolehan kerja pembaikan kenderaan jabatan.

Mohd Hisham Daud, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Mengikut pertuduhan, Mohd Hisham didakwa meluluskan dokumen indent atau kerja pesanan tempatan bagi kerja membekal alat ganti dan menyelenggara kenderaan jabatan kepada Syarikat Serangkai Automobiles Sdn Bhd yang keseluruhannya bernilai RM8,578.69 antara Mac 2019 hingga Jun 2020.

Bagaimanapun, perkhidmatan itu tidak dilaksanakan oleh syarikat berkenaan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan palsu atau RM10,000, mengikut mana-mana yang tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mariah Omar dan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Raihan Mohd Yusof, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Mariah mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin selain mengemukakan syarat tambahan untuk tertuduh tidak mendekati saksi, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri ke pejabat SPRM pada setiap bulan sehingga kes selesai. 

Hisham kemudian merayu untuk dikenakan jaminan rendah atas faktor kewangan dan perlu menanggung keluarga serta ibunya yang sudah berusia. 

Selepas mendengar hujahan dan rayuan daripada kedua-dua pihak, Mohd Azhar menetapkan jaminan RM6,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin dan membenarkan syarat tambahan dipohon pasukan pendakwaan.

Beliau turut mengarahkan tertuduh mendapatkan peguam sebelum hadir untuk sebutan kes seterusnya pada 10 Jun ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan