POLIS KENAL PASTI PEMILIK AKAUN MEDIA SOSIAL BERHUBUNG KEJADIAN SIMBAH ASID

08/05/2024 02:04 PM

KUALA LUMPUR 8 Mei (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengenal pasti pemilik akaun media sosial dikenali Muhammad Imran Suresh berhubung kenyataannya mengenai kejadian simbah asid pemain skuad Harimau Malaya, Faisal Halim.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata individu berkenaan mendakwa mempunyai maklumat berkaitan kejadian yang menimpa Faisal.

“Kita menyiasat daripada semua sudut bagi menentukan motif yang jelas. Mana-mana individu yang mempunyai apa-apa maklumat berkaitan boleh tampil bukan mengeluarkan kenyataan sehingga menjejaskan siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Sementara itu, berhubung suspek yang direman semalam, beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan.

Razarudin turut mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan pihak polis.

Terdahulu, seorang pemilik laman sosial Instagram mendakwa dia telah dipanggil polis bagi membantu siasatan kes membabitkan Faisal.

Dia mendakwa mempunyai maklumat dan diminta menutup mulut daripada mendedahkan kejadian sebenar yang menimpa pemain berkenaan.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan