AKTA PENAGIH DADAH 1983 KINI DI PERINGKAT AKHIR PINDAAN

07/05/2024 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) kini dalam peringkat akhir meminda Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 agar hukuman penjara bagi kesalahan penyalahgunaan dadah ditukar kepada program rawatan dan pemulihan dadah.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata proses pindaan itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak seperti Jabatan Penjara dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Sekarang, kita (KDN) sedang harmonikan (proses) fasa akhir. Kalau semua berjalan lancar, insya-Allah pada sidang (Dewan Rakyat) yang terdekat ini, kita akan bentangkan pindaan Akta Penagih Dadah ini dan saya fikir ia adalah satu pencetus perubahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Terbuka AADK 2024 di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Sungai Besi di sini, yang disempurnakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Saifuddin Nasution, pindaan akta itu dibuat untuk memberi peluang kedua kepada penagih serta mengurangkan kesesakan di 41 penjara seluruh negara terutama bagi pesalah penagih yang didapati telah menyalah guna bahan terlarang berkenaan. 

“Di dalam 41 penjara, kita ada lebih kurang 78,000 penghuni (pesalah) dan apabila dibuat pemprofilan data, didapati sebahagian besar kesalahan mereka berkait dengan dadah iaitu bermula dari mengedar sehingga salah guna dadah yang merupakan kesalahan kecil.  

“Jadi kalau semua kita nak ikut jalur sedia ada, penjara akan semakin sesak dan tidak kondusif. Oleh itu, dengan pindaan ini, harapan kita adalah kalau setakat perkara (kesalahan) berkaitan penyalahgunaan, kita nak menyahjenayah mereka supaya dapat dihantar ke pusat pemulihan,” katanya. 

Pada masa sama, beliau berkata pindaan itu akan memberi kebenaran kepada pegawai pemulihan dadah untuk menjalankan saringan ujian kencing terhadap seseorang individu dan menentusahkan sama ada mereka positif dadah ataupun tidak, sebelum individu itu boleh dihantar ke Puspen. 

Mengikut amalan biasa, katanya saringan dan penentuan ujian itu hanya boleh dilakukan oleh pegawai perubatan.

--  BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan