DUA PEMUNGUT TELUR PENYU TERLEPAS HUKUMAN MATI

07/05/2024 04:10 PM

PUTRAJAYA, 7 Mei (Bernama) -- Dua pemungut telur penyu terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini menggantikan hukuman mati mandatori itu dengan penjara 12 tahun kerana menyebabkan kematian rakan mereka yang cuba meleraikan pergaduhan, lapan tahun lepas.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail menjatuhkan hukuman itu ke atas Faizol Aznan Muhamad, 43, dan Mohd Riduan Ismail, 35, selepas mahkamah sebulat suara menggantikan sabitan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh kepada Seksyen 304 (a) kanun sama.

"Oleh itu, hukuman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan diketepikan dan diganti dengan hukuman penjara 12 tahun bermula dari tarikh ditangkap," kata Hakim Hadhariah yang turut bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Mohamed Zaini Mazlan.

Faizol dan Mohd Riduan, masing-masing ditangkap pada 2016 dan 2017. 

Terdahulu, peguam Ghazali Ismail yang mewakili kedua-dua perayu memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk meminda pertuduhan dihadapi anak guamnya di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kepada Seksyen 304 (a) kanun sama dan ianya dipersetujui oleh AGC.

Hukuman penjara 12 tahun bermula dari tarikh tangkap turut dipersetujui oleh kedua-dua pihak katanya, dan perkara itu juga disahkan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd Amril Johari.

Pertuduhan di bawah Seksyen 304 (a) dibacakan kepada Faizol Aznan dan Mohd Riduan dan mereka kemudiannya mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Kedua-dua lelaki itu didakwa telah menyebabkan kematian Razak Abdullah, 50, yang juga pemungut telur penyu di tepi Pantai Geliga berhadapan Sekolah Kebangsaan Sri Geliga Chukai, Kemaman kira-kira 7 pagi 3 Jun 2016, mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman denda.

Berdasarkan fakta kes, Faizol Aznan telah bertengkar dengan seorang lelaki, yang juga pemungut telur penyu berhubung pembahagian kawasan penyu bertelur di pantai itu.

Razak, yang berada di lokasi kejadian, cuba meleraikan pertengkaran itu namun Faizol Aznan berang lalu memukul muka mangsa bertubi-tubi dengan sebatang kayu sebelum Mohd Riduan secara tiba-tiba masuk campur dan menghentak muka mangsa menggunakan topi keledar.

Pada 9 Ogos 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menjatuhkan hukuman mati terhadap Faizol Aznan dan Mohd Riduan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan