SIMBAH ASID PEMAIN BOLA SEPAK : SEORANG LAGI DITAHAN, REMAN LIMA HARI

07/05/2024 03:12 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Polis menahan seorang lagi individu yang disyaki terbabit dalam kejadian simbah asid terhadap pemain bola sepak kebangsaan di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya, pada Ahad.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki berusia lingkungan 30-an itu, ditahan di Bandar Baru Bangi, Kajang petang semalam dan direman lima hari hingga Sabtu ini bagi membantu siasatan.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki berusia lingkuan 20-an ditahan di Pandan Indah, Ampang dekat sini pada Ahad, kerana disyaki terbabit dalam kejadian serangan terhadap pemain bola sepak negara itu.

Bagaimanapun, Hussein berkata siasatan mendapati lelaki tersebut tiada kaitan dengan kes terbabit dan akan dibebaskan.

Beliau berkata siasatan polis mendapati, suspek sebenar kes itu yang menaiki motosikal semasa kejadian menggunakan nombor pendaftaran palsu dan ia sama dengan nombor pendaftaran motosikal milik suspek pertama yang ditahan pada Ahad.

“Tetapi kita akan menahan dia (suspek) semula, kerana ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahad lepas, media melaporkan pemain sayap pasukan Selangor FC Faisal Halim mengalami kecederaan pada badan, dipercayai akibat disembah asid dan dibawa ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya. Susulan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan