SEMPADAN MALAYSIA-THAILAND DI SUNGAI GOLOK ‘DIKAWAL’ KERETA PERISAI, DRON

07/05/2024 02:21 PM

PASIR MAS, 7 Mei (Bernama) -- Sempadan Malaysia-Thailand di sepanjang Sungai Golok, di sini, kini ‘dikawal’ kereta berperisai dan dron Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi memastikan kawalan berada pada tahap terbaik.

Timbalan Komander Briged Tenggara PGA ACP Hakemal Hawari berkata kereta perisai daripada Skuadron Perisai 9 itu telah digerakkan sejak Khamis lepas, susulan insiden letupan bom di Selatan Thailand pada 29 April lepas.

Beliau berkata usaha berkenaan sekali gus memperkasakan kehadiran kereta perisai jenis Commando V150 PGA di kawasan sempadan negara.

“Kereta perisai telah digerakkan untuk tugas rondaan di sepanjang Sungai Golok bermula dari Pos Ular hingga Pos Ibrahim Pencen bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap tahap keselamatan,” katanya.

Menurut Hakemal, selain itu Unit Dron Batalion 7 turut digerakkan dengan dibantu Unit Dron Pasukan Gerakan Udara untuk mengesan sebarang aktiviti rentas sempadan negara.

“Insiden tembakan dan pengeboman yang berlaku sememangnya telah memberi kesan terhadap tahap keselamatan sempadan negara yang dilihat mampu menjejaskan sosioekonomi dan kehidupan harian masyarakat sekitar jika tidak ditangani secara berhemah.

“Briged Tenggara PGA bersama polis Kontinjen Kelantan akan terus komited dalam memastikan sempadan negara tidak dibolosi sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan,” katanya.

Pada 2 Mei lepas, polis Kelantan mula menggunakan kenderaan berperisai AFV Commando V150 untuk memperketat kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand susulan insiden bom berkenaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan