TIADA PERJANJIAN DENGAN KERAJAAN UNTUK GUGURKAN SAMAN - BEKAS PENGARAH SRC

06/05/2024 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Pengarah SRC International Sdn Bhd Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak mempunyai resolusi dengan kerajaan untuk menggugurkan saman sivil US$1.18 bilion terhadapnya.

Shahrol Azral, 54, yang memberi keterangan sebagai pihak ketiga dalam saman SRC International terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutifnya Nik Faisal Ariff Kamil, berkata beliau malah tidak tahu sebab syarikat itu menggugurkan nama beliau daripada senarai defendan.

“Saya tidak bertanya mengapa saman terhadap saya digugurkan,” katanya ketika disoal oleh peguam bekas Perdana Menteri itu, Harvinderjit Singh.

Harvinderjit: Kes ini difailkan pada Mei 2021. Kemudian SRC International menarik balik tindakan sivilnya terhadap kamu. Ketika itu kamu sudah memberi keterangan pada perbicaraan 1Malaysia Development Berhad?

Shahrol Azral: Betul.

Harvinderjit: Kamu letak jawatan daripada SRC International kerana melihat sesuatu yang mencurigakan

Shahrol Azral: Tidak… sata meninggalkan syarikat tersebut kerana pada masa itu, saya menumpukan perhatian terhadap 1MDB. Ketika itu, 1MDB sedang terlibat dalam projek Tun Razak Exchange (TRX) dan Bandar Malaysia. 

Shahrol Azral berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB dari Mac 2009 hingga Mac 2013.  Beliau adalah Pengarah SRC dari 1 Ogos 2011 hingga 15 Mei 2012. 

SRC sebelum ini menggugurkan lima pengarahnya termasuk Shahrol Azral daripada saman itu dan hanya mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal. 

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi kemudian membenarkan permohonan Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka dalam saman yang difailkan syarikat itu terhadap beliau.

SRC di bawah pengurusan baharu telah memfailkan saman itu pada Mei 2021, atas dakwaan Najib telah melakukan pecah amanah jenayah, salah guna kuasa dan memperoleh ganjaran peribadi daripada dana syarikat itu selain melakukan penyelewengan terhadap dana berkenaan.

Syarikat itu memohon ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi tambahan, faedah, kos dan relief lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

SRC juga menuntut deklarasi mahkamah bahawa Najib adalah bertanggungjawab bagi kerugian yang dialami oleh syarikat itu akibat pelanggaran tugas serta amanah beliau dan menuntut supaya beliau membayar balik kerugian yang dialami sebanyak RM42 juta.

Najib, 71, yang kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib telah dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan