POLIS TAHAN SEORANG LELAKI BANTU SIASATAN KES SIMBAH ASID PEMAIN BOLA SEPAK

06/05/2024 03:11 PM

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes pemain bola sepak kebangsaan disimbah asid dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya, petang semalam.

Lelaki berusia lingkungan 20-an itu ditahan malam tadi berdasarkan nombor pendaftaran sebuah motosikal yang digunakan dalam kejadian terbabit.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata lelaki terbabit ditahan di Pandan Indah Ampang, Selangor oleh sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dan direman dua hari.

“Lelaki tu dikesan berdasarkan dapatan siasatan di lokasi kejadian di Petaling Jaya iaitu nombor pendaftaran motosikal jenis Yamaha yang digunakannya ketika kejadian.

"Setakat ini kita masih menyiasat motif kejadian," kata Razarudin kepada Bernama ketika melawat Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di sini hari ini.

Razarudin berkata setakat ini pihaknya telah merakam keterangan daripada tiga individu termasuk mangsa dan beberapa individu lain akan dipanggil hari ini untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.

Semalam, media melaporkan pemain sayap pasukan Selangor FC Faisal Halim mengalami kecederaan pada badan dipercayai akibat disembah asid dan dibawa ke sebuah hospital swasta di Petaling Jaya serta keadaannya dilaporkan stabil.

Susulan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Razarudin turut menafikan kejadian yang menimpa Faisal dan pemain Terengganu FC Akhyar Rashid mempunyai kaitan dengan pengendali pertaruhan (bookie) yang mengatur keputusan perlawanan.

“Seperti yang saya tegaskan mana-mana pihak untuk tidak mereka-reka cerita yang tidak benar sehingga siasatan dijalankan...beri kami ruang dan masa untuk siasatan berhubung kes ini dilaksanakan," katanya.

Khamis lepas, pemain sensasi kebangsaan dan juga Terengganu FC, Akhyar diserang sebelum disamun di Kuala Terengganu, Terengganu.

Akhyar dikatakan dipukul menggunakan senjata tumpul di bahagian kepalanya sehingga menyebabkan pemain berkenaan mengalami kecederaan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan