POLIS BURU DUA SUSPEK KES TEMBAK DI PASIR MAS

04/05/2024 07:18 PM

PASIR MAS, 4 Mei (Bernama) -- Polis sedang memburu dua suspek disyaki terlibat dalam kes tembakan di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas, di sini awal pagi tadi. 

Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pada 4.42 pagi pihak polis telah menerima satu laporan polis berkaitan kes itu. 

Beliau berkata berdasarkan laporan itu, kira-kira pukul 3 pagi semasa pengadu bersama sepupunya sedang tidur kedengaran bunyi empat das tembakan di luar rumahnya.

"Pengadu yang tersedar dengan tembakan itu terus pergi ke pintu utama dirumahnya dan mendapati dua lelaki menaiki sebuah motosikal memecut laju ke arah Bunut Susu.

"Pemeriksaan awal di tempat kejadian mendapati terdapat kesan tembakan pada cermin belakang dan cermin sisi penumpang hadapan kereta Perodua Viva, manakala kereta Mitsubishi Triton telah ditembak di bahagian fender kiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhamad Zaki berkata polis yang menjalankan pemeriksaan di kawasan hadapan rumah lelaki itu menemukan empat kelongsong peluru disyaki jenis sembilan milimeter. 

"Dalam kejadian ini tidak melibatkan kecederaan mana-mana individu dan hanya melibatkan kerosakan dua buah kereta sahaja dan suspek disyaki dua lelaki tempatan menggunakan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15.

"Kes disiasat di bawah seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Sek. 427 Kanun Keseksaan. Motif kejadian masih dalam siasatan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan