JENAYAH & MAHKAMAH

DUA LELAKI DITAHAN DISYAKI JUAL BELI DIESEL BERSUBSIDI

16/04/2024 09:12 PM

SUNGAI PETANI, 16 April (Bernama) -- Polis menahan dua lelaki tempatan ketika sedang dipercayai melakukan urusan jual beli minyak diesel bersubsidi di sebuah premis di Bedong dekat sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda Supt Anuar Abd Rahman@Abd Rahim berkata ketika ditahan kedua-duanya yang berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun cuba memindahkan diesel terbabit dari sebuah treler ke dalam dua lori.

"Serbuan di premis itu dijalankan bermula 10.50 pagi hingga 1.40 tengah hari selepas bertindak hasil maklumat dan risikan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda,” katanya pada sidang media di IPD Kuala Muda hari ini.

Beliau berkata siasatan lanjut mendapati treler itu dipercayai milik sebuah persatuan nelayan yang dipandu lelaki tempatan berusia lewat 30-an.

"Cecair disyaki diesel dengan anggaran isipadu 800 liter dan 2,100 liter masing-masing ditemukan di dalam dua lori, manakala 27,000 liter lagi dijumpai di dalam treler. 

"Kesemua 29,900 liter diesel yang dirampas dianggar bernilai RM44,991.84," katanya.

Anuar berkata diesel terbabit dipercayai diambil dari sebuah depoh minyak di kawasan Perai, Pulau Pinang bagi kegunaan nelayan di kawasan nelayan di daerah ini.

"Dalam perjalanan, pemandu terbabit dipercayai singgah di lokasi di Bedong untuk menjual sedikit diesel bersubsidi dengan bayaran RM250 bagi setiap 200 liter,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kuala Muda mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan dan akan diserahkan kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan