JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI MUAT NAIK KOMUNIKASI JELIK TERHADAP RAJA PERLIS DIRUJUK PSIKIATRI

16/04/2024 01:31 PM

KANGAR, 16 April (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengarahkan seorang lelaki yang memuat naik komunikasi jelik terhadap Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di laman Facebook miliknya baru-baru ini, dihantar ke Hospital Psikiatri untuk menjalani pemantauan selama sebulan bagi mendapatkan laporan kesihatan.

Perintah tersebut dikeluarkan Hakim Musyiri Peet ke atas tertuduh, Hasbullah Mohammad, 41, berikutan keadaan mentalnya dikatakan tidak stabil.

Menurut peguam Shazwan Shaidan yang mewakili tertuduh, lelaki yang masih bujang itu merupakan pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental dan masih dalam rawatan susulan di Hospital Tuanku Fauziah di sini, selain turut dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur.

Terdahulu, Hasbullah yang berkopiah dan kelihatan tenang mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya. 

Mengikut pertuduhan, pada 3.26 pagi 6 Mac lepas tertuduh yang menggunakan nama profil Muhammad Muhammad (Ku Tehh Ku Muhammad) di laman Facebooknya, secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati orang lain, yang telah dibaca pada 7 pagi hari yang sama di sebuah rumah di Taman Fauziah di sini.

Dia didakwa di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Perlis Muhamad Asyraf Md Kamal dan hakim menetapkan 15 Mei ini bagi serahan laporan psikiatri tertuduh.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan