PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

Lanjutan moratorium bersasar terpulang kepada bank - Tengku Zafrul

28/06/2020 03:32 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jun -- Lanjutan moratorium bersasar adalah terpulang kepada bank, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Bagaimanapun, beliau berpendapat bahawa bank perlu mengkaji bantuan yang disasarkan tetapi menekankan bank tidak boleh dipaksa untuk berbuat demikian berikutan ia dalam bidang kuasa mereka.

“Terdapat banyak permintaan daripada mereka yang memerlukan lebih banyak masa untuk moratorium. Oleh itu, ini sebenarnya terpulang kepada bank sama ada mereka boleh atau tidak tetapi pada pandangan peribadi saya, kita perlu menolong orang yang perlu ditolong,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja di ibu pejabat Prasarana hari ini.

Tengku Zafrul berkata lanjutan moratorium bersasar akan diteliti oleh bank berdasarkan kes demi kes.

Beliau berkata di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), BNM mencadangkan moratorium automatik kepada semua pembayaran balik pinjaman oleh individu serta perusahaan kecil dan sederhana selama enam bulan bermula 1 April hingga 30 Sept, 2020 yang memberi manfaat kepada semua orang.

“Pada masa akan datang, saya fikir yang terbaik ialah kita memberi tumpuan kepada kumpulan sasaran yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata peminjam perlu menghubungi bank lebih awal jika mereka merasakan bahawa mereka perlu menjadualkan semula pembayaran balik pinjaman mereka. 

“Ini terutamanya bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dan gaji berkurangan. Justeru, hubungi bank anda sekarang dan membuat penyusunan semula,” katanya. 

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata kerajaan akan terus mematuhi disiplin fiskal dan optimis bahawa defisit fiskal akan berkurangan apabila ekonomi pulih selepas COVID-19.

“Walaupun defisit (fiskal) kita akan naik, (ini kerana) kita nak tolong rakyat dan ekonomi, tetapi dalam jangka panjang, kita perlu menurunkan defisit ini apabila ekonomi sudah pulih.

“(Antara bukti) fiskal disiplin yang penting ialah akaun semasa kita. Dari segi perbelanjaan, ia positif kerana kita tidak menggunakan pinjaman walaupun fiskal kita (dalam keadaan) defisit, (tetapi) akaun semasa kita tidak defisit,” katanya.

Pada 25 Jun, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak semula unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia untuk menguncup 3.8 peratus tahun ini, berbanding penguncupan 1.7 peratus yang dibuatnya sebelum ini.

Bank Dunia menurunkan unjurannya untuk ekonomi Malaysia pada tahun ini dan menjangka ekonomi menguncup sebanyak 3.1 peratus berbanding jangkaan awal iaitu -0.1 peratus pada April, manakala ia menjangka prospek dalam masa terdekat tidak menentu berikutan pandemik COVID-19.

Tengku Zafrul berkata unjuran rendah itu sejajar dengan jangkaan BNM antara -2.0 peratus dan 0.5 peratus pada 2020 dalam persekitaran prospek ekonomi global yang amat mencabar.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan