PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

PENJANA: Kerajaan bantu ringankan beban PKS hadapi krisis ekonomi

08/06/2020 09:18 AM

KUALA LUMPUR, 5 Jun  -- Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendapat reaksi positif pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan menganggapnya sebagai usaha berterusan kerajaan meringankan beban mereka bagi menghadapi cabaran krisis ekonomi akibat penularan COVID-19.

Pemilik dan Pengasas Wan Rashid Resources (Creative Service) Syarrizuan Abdul Rashid berkata langkah kerajaan untuk merangka dasar bagi menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan kebajikan pekerja dalam sektor itu disifatkan sebagai membantu usaha menggerakkan alternatif perniagaan.

"Ini adalah kebiasaan baharu yang sangat relevan ketika ini khususnya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selain mengurangkan kos premis dan utiliti ia juga mempunyai masa yang fleksibel," katanya kepada Bernama.

Secara keseluruhan, terdapat 40 inisiatif bernilai RM35 bilion di bawah PENJANA dan daripada jumlah ini tersebut sebanyak RM10 bilion merupakan suntikan fiskal langsung dari kerajaan. 

PENJANA yang dibentangkan Perdana Menteri itu bertemakan ‘Bersama Menjana Ekonomi’.

Selain itu, pemilik restoran Pak Mal di Seksyen 10 Shah Alam, Selangor, Ameerul Izham Kamarul Hilal berkata usaha kerajaan menyokong ekonomi gig juga membantu usaha peniaga meneruskan perniagaan menggunakan platform digital yang kian berkembang pesat dan menjimatkan kos operasi.

"Dari segi penyediaan pembiayaan pula ia sedikit sebanyak membantu PKS untuk menanggung kos lain yang tetap perlu dibayar walaupun tidak beroperasi seperti utiliti dan gaji pekerja," katanya.

Sementara itu, pemilik Al hakim Education Centre Fakhriah Ismail berkata insentif kursus asuhan sebanyak RM900 bagi setiap pekerja tadika membantu pihak pengusaha untuk menaiktaraf mutu pendidikan guru-guru dalam usaha meningkatkan rating taska.

"Insentif ini sangat membantu pihak pengurusan taska kerana setiap guru memang diwajibkan untuk mengambil kursus Kursus Asas Asuhan Permata anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Beliau berterima kasih kepada kerajaan kerana melanjutkan subsidi upah untuk tempoh tiga bulan lagi memandangkan sepanjang tempoh PKP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tiada kutipan untuk yuran taska.

"Lanjutan ini serba sedikit dapat menampung gaji guru dan tidak ada guru yang bercuti tanpa gaji, bantuan ini dapat mengelakkan pengusaha taska gulung tikar," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan