PELAN JANA SEMULA EKONOMI NEGARA (PENJANA)

PENJANA pacu sentimen perniagaan Malaysia, tarik pelabur asing

05/06/2020 09:19 PM

Oleh Farhana Poniman

KUALA LUMPUR, 5 Jun -- Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang meletakkan asas kukuh sokongan kewangan dan inisiatif untuk komuniti perniagaan juga dilihat mampu mempertingkat sentimen perniagaan serta menarik kalangan pelabur asing.

Presiden Dewan Perdagangan ASEAN, Datuk Moehamad Izat Emir berkata Malaysia sememangnya menjadi tumpuan sejak Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui kerajaan serta keberkesanan langkah-langkah bagi menangani isu ekonomi serta kehidupan rakyat di tengah-tengah penularan pandemik COVID-19.

“Pelabur asing akan memberi tumpuan serius terhadap Malaysia. Rakan-rakan saya di Indonesia, Vietnam, Thailand dan Singapura misalnya telah menyuarakan rasa kagum mereka terhadap cara Malaysia menangani masalah pada masa ini.

“Oleh itu menerusi pengumuman PENJANA ini, saya yakin pelabur asing akan lebih berminat untuk kembali ke sini dan melabur dengan secara ketara,” katanya kepada Bernama.

Perdana menteri hari ini mengumumkan 40 inisiatif di bawah PENJANA bernilai RM35 bilion dengan sebahagian besar peruntukan itu bagi tujuan jaminan pekerjaan termasuk untuk mereka dalam sektor ekonomi gig, latihan semula selain melancarkan aliran tunai untuk perniagaan.

Moehamad Izat berkata penularan COVID-19 telah memberi tekanan hebat kepada para usahawan apabila aliran modal masing-masing terjejas dan kerajaan terbukti proaktif dari segi menyalurkan bantuan kewangan bagi segmen tersebut.

Sementara itu, Presiden Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Malaysia (NCCIM) Tan Sri Ter Leong Yap berkata insentif cukai berkaitan pelaburan akan membantu meningkatkan semula keyakinan pelabur tempatan dan asing serta menghidupkan semula pelaburan persendirian yang suram apabila usaha terbabit dapat dilaksanakan dengan baik.

Malah, beliau berkata NCCIM mengalu-alukan tindakan kerajaan untuk mewujudkan mekanisme kelulusan secara pantas atau ‘fast-track’ bagi lesen pembuatan dan insentif cukai selain menubuhkan Unit Penyelarasan dan Pemecutan Projek (PACU) di Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi kemudahan kelulusan berkaitan.

Bagaimana pun, beliau berkata aspek lain yang sama penting adalah menyediakan sokongan fasilitasi bagi pelaburan langsung domestik, khususnya bagi meningkatkan kemampuan perusahaan kecil dan sederhana untuk muncul sebagai pemain yang kompetitif.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Dr Sri Ganesh Michiel berkata antara pengumuman yang memberi manfaat kepada sektor perhotelan dan pelancongan itu adalah lanjutan Program Subsidi Upah, penangguhan bayaran anggaran cukai selama tiga bulan lagi serta pengecualian penuh cukai pelancongan bagi tempoh setahun berkuat kuasa 1 Julai ini.

“Industri perhotelan paling teruk terjejas apabila perniagaan tidak mencatat sebarang keuntungan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan COVID-19. Berikutan itu, 60 peratus daripada hotel ahli persatuan ini terpaksa ditutup kerana tiada sebarang petunjuk jelas mengenai masa depan industri ini.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan di atas bantuan untuk pengendali perniagaan serta pekerja mereka dalam industri pelancongan dan perhotelan yang menjadi pihak pertama terjejas dan terakhir untuk kembali pulih,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan