BELANJAWAN 2024 > BERITA

SIME DARBY PLANTATION TEROKAI TAMAN PERINDUSTRIAN HIJAU, TENAGA BOLEH BAHARU

07/05/2024 01:47 PM

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Sime Darby Plantation Bhd (SD Plantation) merancang untuk mengembangkan penawarannnya dengan menyertai cadangan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) di Perak, inisiatif yang dipacu kerajaan persekutuan dengan kerjasama kerajaan negeri Perak.

Pengarah Urusan Kumpulan SD Plantation Datuk Mohamad Helmy Othman Basha berkata rancangan itu antara usaha syarikat untuk memanfaatkan simpanan tanahnya yang luas di Malaysia.

Beliau berkata bagi memenuhi matlamat itu pihaknya akan bekerjasama dengan pemegang saham terbesarnya, Permodalan Nasional Bhd (PNB) untuk membangunkan tanah seluas 1,000 ekar (404.68 hektar) yang terletak di Ladang Tali Ayer SD Plantation di Perak.

"Cadangan bersama ini telah dikemukakan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada Februari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Helmy berkata KIGIP berkonsepkan untuk menarik pelaburan tenaga elektrik dan elektronik (E&E) hijau ke negara ini, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.

“Rancangan itu juga melibatkan penubuhan 660 ekar (267.09 hektar) ladang solar sebagai sumber tenaga hijau utama bagi kawasan itu, direka untuk menarik semikonduktor dan pelaburan E&E, dua daripada sektor yang paling pesat berkembang dalam ekonomi global,” katanya.

Keputusan untuk mengambil bahagian secara aktif dalam pembangunan KIGIP adalah peristiwa penting bagi syarikat berikutan ia menceburi bidang yang berkaitan syarikat perladangan itu.

KIGIP mempunyai akses mudah ke Lebuhraya Utara-Selatan, menyediakan sambungan penting dengan hab logistik utama seperti lapangan terbang dan pelabuhan laut, menjadikannya menarik bagi bakal penyewa dan pelabur.

Zon perindustrian utama akan meliputi 404.69 hektar di kawasan yang kini dikenali sebagai Ladang Tali Ayer SD Plantation dalam daerah Kerian.

Jika mengikut konsep, kira-kira 67 peratus daripada zon utama akan terdiri daripada kawasan perindustrian, manakala baki pembangunan akan menempatkan infrastruktur lain seperti kemudahan komersial dan kediaman, serta utiliti, kemudahan dan ruang hijau yang besar.

"Menerusi kerjasama ini, ia bukan sahaja dapat memanfaatkan simpanan tanah kami, malah kami menyasarkan untuk mendapatkan aliran hasil yang lebih mampan bagi pemegang saham kami,” kata Mohamad Helmy.

Syarikat perladangan itu juga bercadang memanfaatkan simpanan tanah di negeri lain, dengan mengikuti konsep KIGIP sekiranya berupaya, dan kini sedang giat membincangkan rancangan itu dengan beberapa agensi negeri bagi tujuan pembangunan tanahnya.

Beliau berkata kumpulan itu juga sedang meneroka peluang dengan rakan kongsi niaga untuk membangunkan pusat data, yang biasanya menggunakan sejumlah besar tenaga.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 IFLIX dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan