BELANJAWAN 2024

USAHA PENSTRUKTURAN SEMULA PERKHIDMATAN BEKALAN AIR PAHANG MULA SEJAK 2018

08/12/2023 12:31 PM

KUANTAN, 8 Dis (Bernama) -- Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail hari ini berkata usaha penghapusan hutang kerajaan negeri terhadap kerajaan Persekutuan, berjumlah RM2.074 bilion menerusi Penstrukturan Semula Perkhidmatan Bekalan Air Negeri Pahang, bermula sejak 2018 lagi.

Sehubungan itu, Wan Rosdy berkata usaha penstrukturan semula bekalan air itu bermula sebelum Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cheka Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mula berkhidmat sebagai Menteri Alam Sekitar dan Air, iaitu pada awal Mac 2020.

Menyentuh kronologi penstrukturan, Wan Rosdy berkata ia bermula sejak 5 Sept 2018 apabila beliau bersetuju memulakan semula perbincangan tawaran kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli yang dipimpin Datuk Dr Xavier Jayakumar.

“Kerajaan negeri ketika itu telah menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi merunding dan menguruskan langkah penstrukturan, kerana ini bukan perkara mudah, melibatkan duit kerajaan. Duit kerajaan ini, satu sen pun perlu dikira kerana ia akan diaudit.

“Pada 30 Mac 2020 iaitu ketika Cheka baru sahaja menjadi menteri, semua draf perjanjian dikemas kini dan dimuktamadkan berdasarkan terma utama yang dipersetujui kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, termasuk juga jumlah yang setuju dihapus kira dan dinovasikan berjumlah RM2.074 bilion,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian semasa menggulung perbahasan Belanjawan 2024 di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, dan menambah majlis menandatangai perjanjian itu diadakan pada 23 Dis 2020, iaitu selepas Ketua Pembangkang DUN Pahang bergelar menteri.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Cheka (Tuan Ibrahim) kerana telah bersetuju menurunkan tanda tangan... kiranya seperti jika bermain bola sepak, bola telah berada di hadapan gawang dan Cheka telah membantu saya menyumbatkan gol,” katanya.

Tuan Ibrahim kemudiannya memohon kebenaran mencelah bagi menjelaskan bahawa, perjanjian itu hanya dicapai selepas Pahang bersetuju dengan syarat dan terma dikenakan termasuk menaikan tarif air memandangkan negeri ini memiliki tarif air paling rendah.

“Selagi tak naik, apa janji pun tak dapat dibuat. Kita berjaya naik tarif air untuk industri. Dengan naik tarif itu lah, Pahang dapat lupus (hutang). Saya tidak berhasrat mahu panjangkan lagi kerana sesiapa sahaja yang menjadi kerajaan perlu menjalankan tanggungjawab tidak mengira parti,” katanya.

Turut berkaitan dengan bekalan air, Wan Rosdy menegaskan bahawa kerajaan negeri komited menyelesaikan 90 peratus isu bekalan air pada 2026 dan menjadikanya sebagai keutamaan, memandangkan isu itu besar dan kompleks, memerlukan perancangan rapi dan peruntukan besar.

Semua usaha itu, menurut Wan Rosdy berada di landasan betul dengan setakat November lepas, sebanyak 226 projek bekalan air melibatkan peruntukan RM275.1 juta, manakala 37 projek sedang dalam peringkat pelaksanaan melibatkan kos RM465 juta.

Pada penggulungan itu, Wan Rosdy juga memaklumkan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai inisiatif membantu rakyat memiliki tanah dan sejak beliau menjadi Menteri Besar bermula 2018, sebanyak 69,451 pemberimilikan tanah telah dilaksanakan dengan jumlah terkini hak milik tanah ialah 742,387 hak milik. 

Persidangan DUN Pahang hari ini, juga sebulat suara meluluskan Belanjawan Pahang 2024 yang dibentangkan pada Isnin lepas, dan Wan Rosdy berharap ia dapat memacu pembangunan negeri dengan lebih baik dengan semua agenda kebajikan rakyat terus diperkasakan. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan