BELANJAWAN 2024

PELABUHAN MALAYSIA LAKSANA STRATEGI KALIS MASA DEPAN SELEPAS BERJAYA HARUNGI GELORA PANDEMIK

06/12/2023 10:37 AM

Oleh Harizah Hanim Mohamed

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Pelabuhan-pelabuhan Malaysia berjaya mengharungi gelora yang disebabkan pandemik COVID-19 dan kini bersedia untuk melaksanakan pelan dan strategi bagi memastikan industri ini bersedia menghadapi masa depan dengan lebih yakin.

Kejutan permintaan pengguna serta peningkatan dalam perdagangan e-dagang, peralihan hala tuju perdagangan, turun naik harga minyak mentah, kadar pengangkutan kargo dan kesesakan pelabuhan adalah antara beberapa isu yang dihadapi oleh pelabuhan di seluruh dunia.

Profesor Adjung Universiti Malaysia Terengganu dan felo Institut Maritim Malaysia Nazery Khalid berkata industri maritim berfungsi sebagai pemudah cara perdagangan dan banyak dipengaruhi oleh perkembangan ekonomi mikro dan makro.

"Dengan perdagangan global yang lemah pada 2023, eksport kasar Malaysia dijangka berkembang sederhana, pada kadar 1.5 peratus pada 2023. Ini menjurus kepada jumlah pengendalian kargo yang lebih perlahan oleh pelabuhan Malaysia tahun ini berbanding dengan jumlah kontena yang dikendalikan secara kolektif pada 2022," katanya kepada Bernama .

Bagaimanapun, menurut data daripada pengendali pelabuhan dan Jabatan Laut Malaysia,  pelabuhan Malaysia mengendalikan 20.72 bilion unit bersamaan 20 kaki (TEU) eksport, import dan pemunggahan penghantaran sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini. Jumlah ini meningkat daripada 428.46 juta TEU dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Menurut Nazery, selepas sektor pelabuhan mempamerkan prestasi cemerlang susulan pembukaan ekonomi pascapandemik dan permintaan yang terpendam, terdapat banyak tanda kelembapan dalam sektor ini seiring dengan penurunan dalam jumlah perdagangan bawaan laut.

Sebagai contoh, beliau berkata syarikat perkapalan antarabangsa Maersk Line telah mengumumkan pengurangan 10,000 pekerjaan daripada tenaga kerja globalnya yang berjumlah 110,000, berikutan kejatuhan mendadak dalam permintaan untuk perkhidmatan penghantaran kontena, lebihan kapasiti dalam penghantaran kontena, peningkatan kos operasi dan kadar pengangkutan yang lebih lemah.

"Langkah diambil oleh syarikat perkapalan ini yang menguasai kira-kira 20 peratus daripada perdagangan kontena global, adalah tanda pasti kemerosotan dalam industri perkapalan dan maritim," tambahnya.

 

Pertumbuhan industri pelabuhan: Pulau Carey, MMSW dan pelabuhan tempatan

Cadangan untuk memperluaskan Pelabuhan Klang yang pada masa ini berperanan sebagai pintu masuk maritim utama ke Malaysia, melalui pembinaan pelabuhan mega Pulau Carey bernilai RM28 bilion telah mencetuskan minat yang besar walaupun unjuran pertumbuhan pesimis untuk tahun ini.

Pihak berkepentingan dalam industri berharap rancangan itu, yang dimulakan dalam fasa kajian kemungkinan selepas dicadangkan pada 2017, akan dilaksanakan tidak lama lagi.

Nazery berkata terdapat alasan untuk lebih optimis mengenai tinjauan jangka panjang bagi industri maritim tempatan, dengan prospek pembinaan pelabuhan baharu di Pulau Carey, Pelabuhan Klang. Ia adalah selaras dengan hasrat Malaysia untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai hab maritim di Asia Tenggara selain memanfaatkan lokasinya yang strategik di sepanjang laluan perdagangan laut yang sibuk di Selat Melaka dan juga Laut China Selatan.

Pelabuhan itu dijangka mempunyai kapasiti pengendalian sebanyak 36 juta TEU, tiga kali ganda daripada 13.2 juta TEU yang dikendalikan oleh Pelabuhan Klang pada 2022, dengan kerja-kerja pembangunan dirancang bermula pada 2025 dan diteruskan secara berperingkat sehingga 2055.

“Walaupun rancangan atau pelan ini akan mengambil masa beberapa tahun untuk dilaksanakan, apabila siap kelak, pelabuhan itu akan menjana banyak tarikan dan aktiviti perniagaan dalam kalangan syarikat perkapalan, pemain logistik, dan pelbagai penyedia perkhidmatan sokongan.

"Ia juga akan meningkatkan kecekapan, produktiviti dan daya saing Pelabuhan Klang, serta melonjakkan daya tarikannya kepada kapal yang lebih besar yang mengangkut jumlah kargo yang besar.

“Tambahan pula, memandangkan keunggulan Pelabuhan Klang sebagai pusat muatan negara dan hab marin, pelabuhan baharu itu akan meningkatkan jumlah dagangan Malaysia," katanya.

Pengasas dan rakan pengurus kumpulan Thought Partners Group Consulting (TPG) Abi Sofian Abdul Hamid, yang juga bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Northport berkata memandangkan industri ini berkembang pada kadar yang tidak pernah terjadi sebelumnya dan Malaysia pula kini memberi tumpuan kepada infrastruktur utama seperti Pelabuhan Pulau Carey, perhatian lebih harus diberikan kepada melatih tenaga kerja masa depan untuk terlibat dalam industri yang sentiasa berubah dengan kemahiran dan pendekatan baharu.

"Juga perlu diwujudkan Pusat Penyelidikan Logistik dan Rantaian Bekalan untuk menguruskan pelbagai data yang dikumpul oleh agensi berkaitan. Data yang dikumpul ini akan berguna dalam perancangan masa depan. Pada masa ini, kita tidak mempunyai tempat yang pemain industri dan pihak berkepentingan boleh mendapatkan data yang berkaitan.

"Sebagai contoh, kita tidak dapat melaksanakan Indeks Prestasi Logistik dengan secukupnya, yang penting untuk menunjukkan kecekapan sektor logistik kita," tambahnya.

Sementara itu, beralih kepada perkembangan terkini untuk pelabuhan tempatan, Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan peningkatan sistem Tetingkap Tunggal Maritim Malaysia (MMSW), yang bertujuan untuk menyepadu dan menyelaraskan perdagangan pelabuhan di Malaysia.

MMSW dijangka dilaksanakan pada 1 Jan 2024, dan kos membangunkan sistem bernilai RM20 juta itu akan ditanggung oleh pihak berkuasa pelabuhan.

Berkenaan pelabuhan individu pula, pelabuhan tempatan di seluruh Malaysia berkembang untuk menampung kapal yang lebih besar dan mengangkut lebih banyak kargo. Pada masa yang sama membentuk pakatan/kerjasama dengan rakan sejawat global dan serantau serta menjadi semakin lebih integrasi ke dalam rantaian bekalan global.

Pelabuhan-pelabuhan di bawah MMC Bhd telah melabur secara aktif dalam peralatan dan infrastruktur.

Misalnya, Penang Port Sdn Bhd sedang merancang secara agresif untuk pembangunan masa depan, termasuk pembangunan dalam empat fasa, yang boleh menelan belanja sehingga RM1.5 bilion, manakala Northport (Malaysia) Bhd telah memperuntukkan pelaburan modal untuk membeli 34 peralatan terminal baharu tahun ini bagi meningkatkan kapasiti dan daya saing pelabuhan.

Ketua Pegawai Eksekutif Penang Port Sasedharan Vasudevan memberitahu Bernama bahawa kapasiti pelabuhan itu akan dicapai dalam tempoh lima tahun akan datang, dengan kapasiti pengendalian kargo semasa berada pada 70 peratus.

"Pengendalian pelabuhan kargo kami mencapai 70 peratus walaupun sebelum COVID-19, menurun semasa kemuncak pandemik, dan kini kembali ke tahap prapandemik sebelum COVID-19.

"Kami sudah mula bersiap sedia untuk pembesaran atau pembangunan pelabuhan pada masa hadapan, terutamanya untuk perniagaan kontena, yang paling pesat berkembang. Kami telah melakukan kajian pelan induk, melibatkan perunding dan berhasrat untuk penebusgunaan (laut) kira-kira 200 hektar, " jelas beliau.

Menurut Sasedharan, penebusgunaan seluas 202.34 hektar akan dilaksanakan untuk tempoh 30 tahun akan datang dan akan dibahagikan kepada empat fasa.

“Kami telah mengemukakan cadangan (perluasan pelabuhan) kepada kerajaan, Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang iaitu pihak berkuasa pelabuhan serta kepada Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Johor Port Bhd, satu lagi cabang Kumpulan MMC, telah memeterai perjanjian dengan PT Pelindo Jasa Maritim pada Julai tahun ini untuk meneroka kemungkinan kerjasama dan peluang untuk meningkatkan sektor maritim dan memperkuat hubungan dua hala antara kedua-dua organisasi.

PT Pelindo Jasa Maritim adalah anak syarikat PT Pelabuhan Indonesia (Persero) yang menyediakan perkhidmatan marin, penyelenggaraan peralatan pelabuhan, dan perkhidmatan utiliti pelabuhan.

Sementara itu, Westports Holdings Bhd, yang telah menerima kelulusan kabinet untuk cadangan pembesaran terminal kontena (CT) 10 hingga 17, mencatatkan keuntungan bersih RM195 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2023, meningkat berbanding RM150.39 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Bagi Perak, negeri itu menjadi tumpuan selepas pengumuman Belanjawan 2024, berikutan cadangan pembangunan empat taman perindustrian.

Perak juga menyaksikan perkembangan ketara dari segi pelabuhannya, menyaksikan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak menandatangani perjanjian kerjasama dengan Port of Antwerp-Bruges International (PoABI) pada 2022 untuk membangunkan Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Manjung, Perak, melibatkan jumlah pelaburan RM72 bilion dalam tempoh 25 tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof melawat PoABI pada Jun tahun ini dan diberikan taklimat mengenai pelabuhan itu oleh pengarahnya, Stefan Cassimon.

 

Prospek 2024

Kajian tematik MIDF Research sebelum ini menyatakan bahawa ia telah meningkatkan saranannya terhadap sektor pengangkutan, khususnya pengendali pelabuhan dan logistik, kepada sektor "positif" daripada sektor "neutral" disokong oleh prospek perdagangan yang cerah.

Menurut firma penyelidikan itu, keyakinan itu dirangsang oleh ratifikasi perjanjian-perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan