BELANJAWAN 2024

BELANJAWAN 2024 NEGERI SEMBILAN MENYELURUH, BERTEPATAN DENGAN CABARAN EKONOMI NEGARA

04/12/2023 08:39 PM

SEREMBAN, 4 Dis (Bernama) -- Belanjawan 2024 yang dibentangkan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun disifatkan holistik dan menjamin kelangsungan hidup rakyat meskipun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global.

Saiful Yazan Sulaiman (BN-Johol) berkata perincian prestasi ekonomi pada pembentangan bajet itu menunjukkan kerajaan negeri sedar dengan apa yang bakal berlaku dan mengambil tindakan proaktif untuk menghadapi cabaran ekonomi akan datang.

"Peningkatan pelaburan suku kedua tahun ini berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun lepas iaitu 31.76 peratus daripada RM1.48 bilion pada 2022 kepada RM1.95 bilion pada tahun ini membuktikan negeri ini berpotensi menarik minat pelabur luar," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama DUN Negeri Sembilan ke-15 di sini.

Aminuddin pada Jumaat lepas membentangkan Belanjawan 2024 berjumlah RM555 juta dengan anggaran hasil sebanyak RM520 juta dan belanjawan pembangunan mencecah RM140 juta berfokus kepada sembilan teras dalam Aspirasi Perpaduan Negeri Sembilan dan Skim Sejahtera Rakyat merangkumi ekonomi, pelaburan serta infastruktur, pendidikan dan modal insan, kesejahteraan rakyat serta pertanian.

Selain itu Saiful Yazan berkata peruntukan dalam bidang pertanian juga membuktikan komitmen tinggi kerajaan negeri dalam memelihara kesejahteraan rakyat.

"Pada tahun lepas, sebanyak RM13.3 juta iaitu 10 peratus daripada belanja pembangunan manakala pada tahun ini pula RM15.92 juta (12.25 peratus) dan pada tahun depan dicadangkan RM16.71 juta (11.94 peratus).  Soal keterjaminan makanan ini adalah menjadi tanggungjawab bersama," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyarankan kerajaan negeri melihat semula peruntukan RM315,000 kepada Orang Asli di negeri ini memandangkan ia melibatkan isu kebajikan lebih 12,000 masyarakat daripada lebih kurang 70 kampung di negeri ini.

Ketua Pembangkang Ridzuan Ahmad (PN-Gemas) berkata kerajaan negeri disaran meneliti semula peruntukan disalurkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar memandangkan negara mengimport hingga 80 peratus bekalan daging dari luar negara.

"Adakah jumlah diperuntukan itu mencukupi untuk menjadikan negeri kita mampu mempunyai sekuriti makanan sendiri, sudah tentu bagi merealisasikan hasrat ini peruntukan RM1.69 juta ini terlalu 'kecil' tetapi jumlah itu baik untuk membantu penternak sedia ada," katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya jalan utama Seremban-Tampin-Gemas, dinaik taraf iaitu dari laluan dua lorong sehala menjadikan empat lorong secara keseluruhannya berikutan kesesakan luar biasa dihadapi pengguna ketika cuti perayaan dan cuti hujung minggu.

Ridzuan turut berharap kerajaan negeri lebih serius dalam Rancangan Pembangunan Gemas, antaranya membabitkan pembangunan perumahan dengan harga munasabah memandangkan di kawasan itu mendapat limpahan ekonomi daripada kewujudan Kem Syed Sirajuddin, namun penempatan luar terhad.

Sementara itu, Muhammad Sufian Maradzi (BN-Seri Menanti) berkata terdapat beberapa perkara memerlukan tindakan segera seperti memperkasakan sektor pertanian, menangani masalah jalan raya dan perparitan terutamanya di Seri Menanti.

"Kita bakal lancarkan beras Seri Menanti… diharapkan beberapa kawasan di Seri Menanti ini dapat dibangunkan dan masalah sistem perparitan di beberapa tempat diatasi segera supaya tidak menganggu produktiviti beras tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Choo Ken Hwa (PH-Lukut) pula menyentuh soal hasil unsur nadir bumi (REE) dan memohon kerajaan negeri memberikan penjelasan terperinci berkaitan penerokaan sumber baharu itu kepada rakyat.

"Saya difahamkan kerajaan negeri mempunyai prosedur operasi standard (SOP) berkaitan REE, namun terdapat kebimbangan masyarakat sekiranya penerokaan sumber ini diteruskan, penting diberikan penjelasan supaya objektif penerokaan sumber baharu ini dapat dicapai sebaiknya," katanya.

Persidangan bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan