BELANJAWAN 2024

BELANJAWAN 2024: INISIATIF TANGGUNG BAYARAN UJIAN MEMANDU RINGANKAN BEBAN RAKYAT

15/10/2023 02:02 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Inisiatif kerajaan untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi untuk golongan kurang berkemampuan dilihat banyak membantu meringankan kos perbelanjaan rakyat.

Selain itu, langkah berkenaan juga dapat menggalakkan golongan kurang berkemampuan untuk berusaha menjana pendapatan.

Di JOHOR, pekerja kilang Mohd Sallehuddin Safwan, 39, berkata rakyat perlu merebut peluang berkenaan kerana dengan mempunyai lesen, mereka dapat meraih pendapatan melalui perkhidmatan pengangkutan awam.

Pekerja sambilan Nadia Ali, 38, pula berkata inisiatif itu mencerminkan keprihatinan kerajaan dalam usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat terutama golongan B40.

“Saya memang berhasrat untuk menyertai perkhidmatan e-hailing bagi membantu menambah sumber pendapatan sebelum ini, namun tergendala kerana perlu mendapatkan Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) … oleh itu, saya berharap agar proses mendapatkan lesen PSV akan dipermudah untuk saya merebut peluang keemasan yang disediakan oleh kerajaan," katanya.

Pekerja swasta Ahmad Ajmal Mohd Jamil, 48, berkata melalui inisiatif itu, ia akan menggalakkan belia B40 untuk memperoleh lesen, sekali gus membolehkan mereka menunggang motosikal dengan lesen yang sah.

Di PAHANG, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan negeri Fadzli Mohamad Kamal berkata inisiatif itu bertepatan dengan situasi semasa untuk meringankan beban rakyat yang berhadapan dengan kenaikan kos sara hidup.

Bagi pembantu teknologi maklumat di sebuah syarikat, Akmal Daniel Mohd Badrul Hisham, 21, berkata langkah itu membuktikan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim cakna terhadap keperluan semasa rakyat.

"Kebanyakan kawan di kampung masih tidak ada lesen atas faktor kewangan, justeru langkah kerajaan ini amat membantu dan saya berharap mereka tidak sia-siakan peluang ini,” katanya.

Di TERENGGANU, pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering, Muhammad Azran Imran, 19, berkata beliau sememangnya berhasrat untuk memohon bantuan itu pada tahun hadapan bagi memudahkan urusannya berulang-alik dari kampus ke rumah di Kuala Nerus.

"Saya tidak mampu untuk mengambil lesen motosikal lagi kerana wang yang disimpan masih belum mencukupi.

"Oleh itu, apabila kerajaan bersetuju untuk menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2 baru-baru ini, saya berasa sungguh gembira dan akan gunakan peluang yang diberikan ini sebaik mungkin," katanya.

Bagi pekerja di sebuah pasar raya Rabiatul Adawiyah Zakaria, 26, inisiatif berkenaan memberi peluang kepada mereka yang tiada pendapatan atau bergaji kecil untuk mendapatkan lesen kenderaan sekali gus dapat membantu memudahkan urusan mereka.

Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat pada Jumaat lepas berkata kerajaan bersetuju untuk terus menanggung bayaran ujian memandu bagi lesen motosikal kelas B2, e-hailing dan teksi untuk manfaat lebih 40,000 belia daripada keluarga kurang mampu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan