BELANJAWAN 2024

PEMANJANGAN LANDASAN LAPANGAN TERBANG PULAU TIOMAN BANTU TINGKAT KEHADIRAN PELANCONG

15/10/2023 12:37 PM

KUANTAN, 15 Okt (Bernama) -- Pemanjangan landasan terbang Pulau Tioman, Rompin lebih 150 kilometer dari sini, dapat membantu meningkatkan kehadiran pelancong ke destinasi pelancongan tersebut, sekali gus meningkatkan pendapatan penduduk setempat. 

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang Leong Yu Man berkata buat masa ini, landasan di lapangan sedia ada sepanjang 850 meter di Kampung Tekek hanya boleh menampung pesawat kecil dengan muatan belasan penumpang.

“Projek pemanjangan landasan, membolehkan pesawat lebih besar seperti pesawat ATR yang boleh membawa 72 penumpang mendarat di Pulau Tioman, selain membolehkan akses masuk tidak terhad pada musim tertentu, memandangkan perkhidmatan feri terganggu pada musim monsun,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan pembentangan Belanjawan 2024 Jumaat lalu, mengumumkan peruntukan RM47 juta bagi menambah baik fasiliti penumpang di terminal Lapangan Terbang Tioman dan memanjangkan landasan sedia ada kepada 1,300 meter.

Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Pembangunan Tioman Datuk Idros Yahya berkata pemanjangan landasan itu, apabila siap kelak dapat menambah bilangan penerbangan ke pulau berkenaan kerana terdapat banyak syarikat penerbangan yang menggunakan pesawat ATR 72.

Buat masa ini, Idros berkata hanya terdapat empat penerbangan dalam seminggu ke Pulau Tioman yang berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor.  

“Pesawat dengan kapasiti yang lebih besar, membolehkan kita menyasarkan kehadiran pelancong dari lebih banyak tempat termasuk Singapura atau Batam, Indonesia selain penerbangan domestik seperti Pulau Pinang dan Kota Bharu, Kelantan.

Pemanjangan landasan, menurut Idros juga dapat meminimumkan impak alam sekitar, yang menjadi keutamaan kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri, berbanding membina sebuah lapangan terbang baharu memandangkan lapangan terbang asal sudah digunakan sejak tahun 80-an.

Sementara itu, pengusaha pelancongan di Pulau Tioman Hadzeri Hamzah, 42, berkata kehadiran pelancong sepanjang tahun menggunakan pesawat kelak, membolehkan penduduk menjana lebih pendapatan berbanding setakat bulan Oktober sahaja buat masa ini atas faktor cuaca.

“Pendapatan kami di sini memang bergantung kepada pelancong. Jika kurang pelancong, kuranglah pendapatan, sedangkan masih banyak yang boleh dilakukan pada November dan Disember, cuma yang kurang feri (yang masuk) disebabkan laut bergelora.

“Tambahan pula musim monsun bukan bermaksud setiap hari hujan. Pernah, dalam seminggu hanya dua, tiga hari sahaja hujan dan selebihnya seperti biasa. Selain laut, ada tarikan lain seperti air terjun dan mendaki boleh dilakukan di Pulau Tioman,” katanya.

Pada 2018, terdapat cadangan untuk membina Lapangan Terbang Antarabangsa Tioman di Kampung Genting, namun pada Ogos lepas, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan, kerajaan secara dasar bersetuju untuk tidak meneruskannyna kerana ia melibatkan penambakan kawasan laut.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan