BELANJAWAN 2024

MELAKA HARAP PERMOHONAN NAIK TARAF PRASARANA SEKOLAH DILULUSKAN

27/02/2023 03:31 PM

MELAKA, 27 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka berharap permohonan bagi menaik taraf infrastruktur sekolah yang memerlukan di Melaka diluluskan menerusi peruntukan RM2.3 bilion yang disediakan bagi tujuan itu seperti dibentangkan pada Belanjawan 2023 Jumaat lepas.

Exco Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin berkata ia bagi membolehkan baik pulih sekolah yang usang dan mengalami banyak kerosakan fasiliti itu dapat dilakukan segera menerusi peruntukan disediakan di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

“Ini termasuk membina bangunan baharu menggantikan kabin yang dijadikan kelas dan telah berusia lebih 10 tahun yang dilihat tidak sesuai lagi digunakan selain kemudahan di bilik darjah bagi sekolah-sekolah lain yang telah rosak.

Kerja baik pulih di sekolah yang dikenal pasti di Melaka ini sudah pasti akan dapat menyediakan bilik darjah yang kondusif bagi membolehkan sesi pembelajaran dijalankan dalam suasana selesa dan selamat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Melaka International College of Science And Technology (MiCoST) mewakili YM Mediscience Sdn Bhd bagi Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman bersama Felcra Education Services Sdn Bhd (FESSB) dan Todak Academy di Bandar Melaka di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MiCoST Datuk Mohamad Azmi Sabtu, Pengurus Besar FESSB Datuk Hazrinor Hisham Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif TODAK Academy Mohamad Taufik Rizal Aminuddin.

Mengulas lanjut Rais berkata beliau berharap peruntukan diumumkan itu dapat disalurkan kepada kerajaan negeri seiring bagi merealisasikan hasrat KPM untuk meningkatkan taraf pendidikan negara dan memelihara kebajikan guru serta murid-murid.

“Dengan peruntukan sebanyak RM55.2 bilion kepada KPM yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2023  itu sudah tentu mengambil kira betapa pentingnya bidang pendidikan kepada negara ini,” katanya.

Sementara itu beliau berkata kerjasama strategik yang dijalinkan bersama kedua-dua pihak berkenaan dapat meningkatkan lagi kecekapan dalam program yang ditawarkan MiCoST untuk memenuhi keperluan industri dalam bidang berkaitan termasuk  bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan