BELANJAWAN 2024

KPM HARAP ADA PERUNTUKAN TAMBAHAN DALAM BAJET 2023 BULAN DEPAN

16/01/2023 04:27 PM

JOHOR BAHRU, 16 Jan (Bernama) -- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berharap terdapat peruntukan tambahan bagi sektor pendidikan dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan depan.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata peruntukan tambahan itu akan disalurkan untuk mengurus dan menyelenggara sekolah terutama sekolah-sekolah daif di seluruh negara.

“Memang keutamaan kita, itu sebab saya kata apabila ia menjadi keutamaan, pastinya dalam belanjawan itu juga tertumpu kepada pembangunan sekolah-sekolah di seluruh negara,” kata Ahli Parlimen Nibong Tebal itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Sekolah Kebangsaan (SK) (P) Bandar Tinggi, di sini, hari ini.

 Fadhlina turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk sekolah berkenaan bagi membaik pulih bahagian bangunan yang usang.

Menyentuh mengenai projek sekolah daif, beliau berkata terdapat lebih 300 projek tersebut di seluruh Malaysia dengan 12 daripadanya di Johor.

Selain projek sekolah daif, KPM juga akan melihat penyelenggaraan dan penambahbaikan kuarters guru yang daif bagi menjaga keselesaan dan kebajikan mereka.

Pada Bajet 2022, KPM menerima peruntukan terbesar berjumlah RM52.6 bilion iaitu 16 peratus keseluruhan anggaran perbelanjaan Persekutuan.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan